SINOPSIS SULALATUS SALATIN ( SEJARAH MELAYU)
Bab I : Bismillah-Rahmannir-Rahim.
Buku dimulakan dengan memuji Allah dan berselawat kepada
Rasulullah s.a.w..
Menjunjung Titah Raja.

Penaklukan Iskandar Zulkarnain.
Raja Iskandar Zulkarnain, berkerajaan di Makaduniah, Rom telah
berusaha meluaskan tanah jajahannya ke arah timur, arah matahari terbit.
Baginda berjaya sampai ke Benua Hindi dan mengalahkan Raja Kida Hindi.
Perkahwinan Puteri Syahrul Bariyah,
Iskandar Zulkarnain telah mengahwini Puteri Syahrul Bariyah.
Perkahwinannya diakadkan oleh Nabi Khidir dengan mas kahwin sebanyak 300 ribu
dinar emas. Setelah kahwin Iskandar Zulkarnain telah meneruskan pengembaraan
untuk melihat matahari terbit. Dalam perjalanan pulang baginda singgah untuk
mengambil isterinya pulang ke Rom tetapi diminta tinggalkan oleh Raja Kida
Hindi. Jadi Puteri Syahrul Bariyah ditinggalkan di negeri Kida Hindi.
Zuriat Iskandar Zulkarnain.
Puteri Syahrul Bariyah melahirkan seorang anak bernama Aristun
Syah, hasil perkahwinannya dengan Iskandar Zulkarnain. Aristun Syah
menggantikan datuknya Raja Kida Hindi memerintah kerajaan selama 355 tahun.
Perjalanan hendak menakluk negeri Cina.
Dari keturunan Iskandar Zulkarnain itu juga lahirlah
Raja Suran. Beliau menakluki semua negara kecuali negara Cina, jadi baginda
mahu menakluk pula negara Cina. Dalam perjalanan itu, baginda sempat menawan
negara Gangga Negara. Raja Gangga Syah Johan dikalahkan dan saudara perempuan
raja yang bernama Puteri Dara Segangga dikahwini. Raja Suran juga mengalahkan
negeri Langgiu, di hulu Sungai Johor. Rajanya bernama Raja Chulan berjaya
di bunuh. Anak Raja Chulan iaitu Puteri Onang Kiu telah
dikahwininya. Baginda meneruskan perjalanan hinggalah sampai ke
Temasik.
Usaha Raja Suran untuk menyerang Cina telah diketahui oleh Raja
Cina. Baginda menghantar satu rombongan untuk menipu raja Suran. Negara Cina
dinyatakan sangat jauh dari Temasik. Untuk sampai ke negara Cina seorang yang
berumur 12 tahun akan menjadi tua, hingga gugurlah giginya. Besi sebesar lengan
akan haus menjadi seperti sepucuk jarum sahaja. Pepohon yang dimakan kiranya
ditanam akan berbuah. Mendengar tipu muslihat itu Raja Suran membatalkan
hasratnya untuk menyerang negara Cina.
Hendak mengetahui isi laut.
Raja Suran masuk ke dalam laut dengan menggunakan peti kaca yang
berpesawat. Baginda tiba di negeri Dika. Kaumnya berbangsa Bu Sum. Setengah
Islam dan setengah kafir. Kaum itu kehairanan melihat Raja Suran.
Zuriat Raja Suran.
Berjumpa Raja Aktabul Ardh dan menikahi Puteri Mahtabul Bahri.
Hasil perkahwinan mendapat 3 orang anak lelaki iaitu Nila Pahlawan,
Krisyna Pandita dan Nila Utama. Raja Suran telah menyuruh raja jin Asmaghiah
Peri mendapatkan 3 mahkota dari perbendaharaan Nabi Sulaiman untuk diberikan
tanda kepada anak-anaknya itu sebagai keturunan Raja Islandar Zulkarnain. Raja
Suran telah keluar dari dalam laut dengan menunggang kuda semberani jantan bernama
Farasul Bahri. Baginda mendarat di Pantai Baniras. Selepas itu Raja Suran
kembali ke Benua Keling dan membina negara bernama Bijaya Negara.
Bab II: Kisah bermula di Bukit Si Guntang.
Tiga orang anak Raja Suran telah naik ke bumi dan turun di Bukit
Si Guntang dengan menaiki seekor lembu jantan berwarna putih. Kedatangan mereka
ditemui oleh Wan Empuk dan Wan Malini. Mereka telah melihat puncak bukit
bercahaya terang pada malam itu. Tanahnya berubah menjadi warna keemasan. Pohon
padi berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan suasa. Ketiga-tiga
mereka dijemput oleh Demang Lebar Daun ke istana Palembang. Setibanya di
Palembang, lembu kenaikan mereka memuntahkan buih dan terdapat seorang lelaki
di dalamnya yang dinamai Batala.
Asal raja Minangkabau dan Tanjung Pura.
Raja Minangkabau iaitu Patih Suatang telah datang ke Palembang
memohon seorang anak raja Suran itu untuk dirajakan di Minangkabau. Untuk itu
Nila Pahlawan atau Sang Si Perba dihantar ke sana. Penduduk Tanjung Pura pula
datang dan Krisyna Pandita pula dihantar. Nila Utama pula dirajakan di
Palembang dan bergelar Seri Teri Buana.
Seri Teri Buana mahu beristeri. Malangnya semua anak raja yang
ditidurinya mendapat penyakit kedal. Sehingga habislah anak-anak raja yang baik
dalam negeri Palembang itu. STB telah mendapat tahu akan kecantikan Radin Ratna
Cendera Puri anakanda Demang Lebar daun dan ingin mengahwininya.
Bersumpah Berteguh Janji.
Sebelum berkahwin Demang Lebar Daun telah mohon diadakan
perjanjian dahulu. Dia mahu anaknya itu tidak dikeluarkan dari istana kalau dia
mendapat penyakit kedal setelah ditiduri Seri Teri Buana. Biarlah dia menjadi
tukang masak di dapur atau tukang sapu di istana. Demang Lebar Daun juga mahu
supaya raja jangan berlaku zalim dengan memalukan rakyat yang bersalah.
Seri Teri Buana pula mahu rakyat jangan derhaka
kepada raja. Jikalau rakyat derhaka rumahnya akan dibalikkan, kaki tiang ke
langit dan kiranya raja berlaku zalim kerajaannya akan dimusnahkan oleh Allah.
Bagaimanapun setelah ditiduri Seri Teri Buana, Radin Ratna Cendera Puri tidak
kedal. Jadi perkahwinan antara merekapun dilansungkan.
Selepas perkahwinan itu berlaku satu peristiwa
pelik berlaku, telah hanyut di sungai buih-buih yang besar dan satu dari
antaranya mengandungi seorang budak perempuan. Dia telah dijadikan anak angkat
STB dan dinamakan Puteri Tanjung Buih.
Membunuh Ular Sakti Mona.
Penduduk di Minangkabau mahu menguji kesaktian Sang Si Perba
dengan meminta baginda membunuh ular Sakti Mona. SSP telah meminjamkan curiknya
yang bernama curik Si Mandang Kini kepada seorang hulubalang bernama Permasku
Mambang. Beliau berjaya membunuh ular tersebut. Namun curik itu sendiri sumbing
190. Bagindapun kekallah berkerajaan di Minangkabau.
Tajitram Syah iaitu salah seorang dari keturunan
Raja Suran yang telah keluar istana untuk membina empayarnya sendiri telah
dilanggar ribut di tengah laut. Angkatannya musnah dan dia sendiri terdampar di
Belambang Majut (Bangkahulu). Tanah Andalas, sebelah Laut Selbu. Dia dijumpai
oleh Demang Kebayunan dan dikahwinkan dengan anaknya yang bernama Raden
Sendari. Mendapat 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan. Ratna Dewi, Seri
Dewi, Maniaka dan Nila Karna. Seri Dewi dikahwini putera dari Cina dan Ratna
Dewi oleh putera ratu Majapahit. Berita kehadiran Tajitram Syah terdengar ke
India dan para menteri dalam kerajaan Canda Kani telah datang menjemputnya
balik ke Benua Keling itu.
Mencari tempat baru untuk berbuat negeri.
Seri Teri Buana telah keluar dari Palembang untuk membuka negeri
baru. Selepas melewati Gunung Lingga, angkatannya telah kehabisan air minuman.
Untuk mendapatkan air tawar, STB telah menyuruh mencampakkan gulungan rotan ke
laut dan dia sendiri mencelupkan kakinya ke dalam air laut di tengah gelungan
rotan itu. Air laut telah menjadi tawar dan tempat itu dinamakan Selat Air
Tawar. Sesampai STB di Tanjung Bintan, baginda telah dijemput oleh
Wan Seri Beni ke istana dan Raden Ratna Cendara Puri dibawa ke istana bondanya
iaitu Puteri Iskandar Syah.
Jadi Anak angkat raja perempuan Bintan.
Wan Seri Beni memerintah Bintan dengan dibantu oleh Menteri Bupala
dan Aria Bupala. Wan Seri Beni sangat berkenan memandang STB dan RRCP. Kepada
STB diserahkan kerajaannya dan STB dijadikan anak angkatnya. Seri
Teri Buana menjadi raja selama 2 tahun di Bintan itu.
STB meneruskan semula perjalananya. Dia bertolak
ke Bengkilau dan berburu hingga ke Tanjung Sengkuang. Di sini anjng pemburuan
baginda telah terjun ke laut dihambat oleh pelanduk putih. STB telah
memerintahkan tempat itu ditebas untuk dibuka negeri. Bagaimanapun dari situ
dia terpadang pula pantai Temasik dan ingin pula ke sana.
Temasik dijumpai.
Sesampai di Teluk Belanga, angkatan baginda dilanda oleh ribut.
Semua harta telah dibuang ke laut. Untuk meredakan ribut STB telah meletakkan
mahkota baginda ke permukaan air laut. Lalu ributpun teduh. Di atas bukit di
pulau Temasik STB telah terpandangkan seekur singa. Bagaimanapun singa itu
ghaib apabila terpandangkan orang ramai. STB mengubah nama pulau itu dari
Temasik ke Singapura dan mahu kerajaannya dibuka di situ. Wan Seri Beni
menabalkan STB di situ. Pemerintahan Bintan di serahkan kepada anak Menteri
Bupala yang bergelar Tun Telanai.
Bab III : Puteri Nila Pancadi ke
Singapura.
Seri Teri Buana mempunyai 2 orang anak iaitu Raja Kecil Besar dan
Raja Kecil Muda. STB telah menghantar menteri Aria Bupala ke benua keling
meminang Puteri Nila Pancadi. Raja Jambuga Rama Mudaliar telah menerima
pinangan itu, bahkan menghantar puterinya untuk dikahwini oleh Raja Kecil Besar
ke Singapura. Raja Kecil Muda pula dikahwinkan dengan cucu saudara Demang Lebar
Daun iaitu Raden Lasmi Puri.
Raja dan Bendahara adik beradik.
Selepas Seri Teri Buana mati ia ditanam di Bukit Singapura, Raja
Kecil Besar dijadikan Raja bergelar Paduka Seri Pikrama Wira. Raja Kecil Muda
dijadikan Bendahara bergelar Tun Perpatih Permuka Berjajar. Cucu
Demang Lebar Daun dijadikan perdana menteri bergelar Tun Perpatih Pemuka
Jegalar. Penghulu Bendahari bergelar Tun Jana Buga Dendang.
Hulubalang Besar pula ialah Tun Tempurung. RKB telah memperolehi seorang putera
bergelar Raja Muda.
Peristiwa Tatal Dan Menarah Kepala Budak.
Betara Majapahit telah menghantar bingkasan sekeping tatal tujuh
depa panjangnya dan digulung seperti subang kepada PSPW. PSPW menyangka dirinya
dianggap perempuan oleh Betara Majapahit. Sebagai balasannya diminta seorang
tukang kayu bernama Cedun Pawang Antan disuruhnya menarah rambut budak dan
beliung itu dihantarnya ke Majapahit. Betara Majapahit pula
menyangka kepalanya mahu ditarah oleh PSPW. Betara Majapahit sangat marah
dan menyerang Singapura. Orang Majapahit berjaya dikalahkan.
Bila PSPW meninggal dunia, anaknya Raja Muda
diangkat menjadi raja bergelar Rakna Wikrama. Tun Perpatih Tulus pula
menggantikan ayahandanya Tun Perpatih Permuka Berjajar sebagai bendahara.
Badang beroleh gagah.
Badang adalah seorang hamba kepada seorang perempuan yang tinggal
di Sayung. Ikan yang terperangkap di lukah yang ditahannya telah dimakan oleh
hantu. Hantu itu ditangkap dan mahu dibunuh. Untuk mengelakkan dirinya dibunuh
dia berjanji akan menunaikan segala hajat Badang. Badang mohon kepada hantu
supaya dia menjadi gagah. Untuk itu hantu meminta Badang memakan muntahnya.
Selepas makan muntah hantu itu Badang telah menjadi sangat gagah.
Pohon kayu sebesar dua tiga pemeluk dapat
dicabutnya. Hutan yang luas dapat dibersihkan dengan sekejap sahaja. Dengan
kekuatan Badang, tuannya menjadi kaya raya dan diberi gelar Orang Kaya Sayung.
Badang telah dibebaskan. Dia dijadikan Sandim Sani oleh Seri Rakna Wikrama di
Singapura. Kekuatan Badang dapat dilihat dari beberapa peristiwa.
Kayu pengayuh perahunya adalah kayu kempas sebesar sepemeluk. Selepas tujuh
kali berkayuh kayu itu patah. Semasa memanjat pohon kuras, dia terjatuh.
Kepalanya terhempas ke batu dan menyebabkan batu menjadi pecah. Badang dapat
menyorong pilang yang panjang lima belas dengan seorang diri. Sedangkan orang
lain seramai empat lima ratus tidak mampu melakukannya.
Kegagahan Badang diuji.
Raja di Benua Keling telah menghantar pahlawan yang tergagah untuk
menandingi kegagahan Badang. Pahlawan itu bernama Nadi Bija Biakra. Taruhannya
ialah barangan tujuh kapal. Dalam pertandingan itu mereka disuruh bergusti.
Badang berjaya menewaskan Nadi Bija Biakra itu. Mereka juga bertanding
mengangkat batu. NBB hanya terdaya mengangkat separas lutut. Oleh Badang batu
itu diangkat, dilambung-lambung dan dilontarkannya hingga ke kuala.
Raja Perlak pula telah menghantar pahlawannya
yang bernama Benderang untuk mengalahkan Badang. Sebelum pertandingan diadakan
Badang terlebih dahulu meminta untuk menguji Benderang dalam majlis makan
malam. Badang telah menindih peha Benderang dan Benderang tidak mampu
mengangkatnya. Badang pula berjaya mengangkat pehanya bila disesak oleh
Benderang.
Keesukan harinya Tun Perpatih Pandak selaku
ketua rombongan Perlak telah meminta supaya pertandingan itu tidak diteruskan.
Kerana bimbang ianya akan menyebabkan hubungan Singapura dan Perlak menjadi
rosak. Sebenarnya dia takut Benderang dikalahkan. Bagaimanapun
mereka telah disuruh merentangkan rantai yang sangat besar di belakang Siram
supaya kapal tidak dapat lalu.
Tidak lama kemudian Badang telah mati dan
ditanamkan di Buru. Batu Nisannya dikirimkan oleh Raja Benua Keling.
Bila Paduka Seri Wikrama meninggal dunia, dia digantikan oleh anaknya yang
bernama Damia Raja dan bergelar Paduka Seri Maharaja. Dia berkahwin dengan
Damia Puteri anak Tun Perpatih Permuka Berjajar. Dari perkahwinan itu lahirlah
pula Raja Iskandar Syah.
Merah Silu dan Merah Caga tinggal di Gunung Sengkuang. Merah Silu
kerjanya menahan lukah tetapi asyik terkena cacing gelang sahaja. Kerana
terlalu marah cacing itu direbus. Nasibnya baik, cacing gelang telah bertukar
menjadi emas dan buihnya menjadi perak. Bila Merah Caga mendengar
adiknya dikatakan makan cacing gelang, dia mahu membunuh saudaranya itu. Merah
Silu melarikan dirinya ke Rimba Jurun.
Satu hari Merah Silu pergi berburu. Anjingnya Si
Pasai telah menemui seekur semut besar. Semut besar itu telah ditangkap oleh
Merah Silu dan dimakannya. Tempat itu dibersihkan dan dinamakan Semudra yang
beerti semut besar. Negeri Semudra itu telah terkenal hingga ke Mekah. Syarif
Mekah telah memerintahkan seorang nakhoda bernama Sheikh Ismail ke Semudra. Dia
disuruh singgah di negeri Mu’tabari untuk mengambil seorang fakir. Sultan
Muhamad iaitu Raja Mu’tabari telah turun dari takhta dan mengikut rombongan itu
ke negeri Semudra. Sultan Muhammad adalah keturunan dari Abu Bakar al-Siddik
r.a.
Sebelum sampai ke Semudra, kapal Sheikh Ismail
telah singgah di Fansuri, Lamiri, Haru dan Perlak. Kesemua penduduk di situ
telah memeluk agama Islam tetapi tidak ada yang pandai membaca Qur’an. Merah
Silu juga telah memeluk Islam di tangan fakir Sultan Muhammad itu. Malamnya
Merah Silu telah bermimpi berjumpa Rasulullah. Rasulullah telah meludah ke
dalam mulut Merah Silu. Badan Merah Silu menjadi harum dan dia dapat membaca
al-Qur’an. Sheikh Ismail telah menabalkan Merah Silu dan namanya ditukar
menjadi Sultan Malikul Salleh.
Sultan Malikul Salleh telah berkahwin dengan
Puteri Ganggang, anak raja Perlak. Dia mendapat dua orang anak yang diberi nama
Sultan Malikul Tahir dan Sultan Malikul Mansur.Sultan Malikul Salleh telah
keluar untuk mencari tempat baru untuk dibuat kerajaan bagi anaknya. Anjing
pemburuannya telah menyalak di satu tanah tinggi. Tempat itu dipandang cantik
oleh Sultan Malikul Salleh. Ianya ditebas dan diberi nama Pasai sempena nama
anjing pemburuan baginda. Sultan Malikul Tahir dirajakan di Pasai itu dengan
menterinya bernama Sidi Ali Ghiathu’d Din sebagai mangkubumi. Sultan
Malikul Mansur pula dirajakan di Samudra dengan menterinya Sidi Ali Yaumid’d
Din.
Sebelum meninggal dunia, Sultan Malikul Saleh
sempat berwasiat kepada kedua anak dan menteri-menterinya supaya jangan tamak
harta orang, jangan inginkan isteri hamba kamu dan hendaklah hidup bermuafakat.
Raja Pasai Ditipu Dan Ditawan.
Raja Syahrun Nuwi dengkikan kebesaran kerajaan Pasai. Dia
memerintahkan pahlawannya yang bernama Awi Dicu untuk pergi dan menangkap
rajanya iaitu Sultan Malikul Tahir. Dengan menggunakan tipu helah, Sultan
Malikul Tahir telah berjaya ditangkap dan dibawa ke Siam. Dia dijadikan gembala
ayam di istana.
Sidi Ali Ghiathu’d Din telah menyamar menjadi
saudagar Arab dan telah pergi ke negeri Syahrun Nuwi itu. Dia telah memberikan
berbagai hadiah kepada raja Syahrun Nuwi. Antaranya ialah sepohon pohon kayu
emas dan buahnya dari permata. Papan catur emas, buahnya permata merah dan
hijau. Sepasang itik emas yang boleh berenangan di dalam air. Kerana termakan
dengan rasuah berkenaan Sultan Malikul Tahirpun dibebaskan.
Peristiwa Kerana Seorang Dayang.
Sultan Malikul Mansur ingin pergi melawat abangnya di Pasai.
Keinginannya itu ditegah oleh menteri Sidi Asma’ Yaudi’d Din. Bagaimanapun
baginda pergi juga. Semasa di Pasai dia telah membawa pulang seorang dayang
Sultan Malikul Tahir. Perbuatannya itu menimbulkan kemarahan Sultan Malikul
Tahir.
Sultan Malikul Tahir telah menjemput saudaranya
itu untuk majlis berkhatan. Di sana menteri Sidi Asma’ Yaumiddin dibunuh
dan di sula di Pasai. Kepalanya dibuang ke laut. Kepala
menteri itu dijumpai oleh Sultan Malikul Mansur di laut Padang Maya semasa
baginda hendak dibuang ke Manjung. SMM memohon badan menterinya dikembalikan
dan mayatnya ditanam di Padang Maya.
Selepas 3 tahun, SM Tahir telah menyesal di atas
perbuatannya itu dan menjemput saudaranya SM Mansur kembali. Dalam perjalanan
pulang, SM Mansur singgah di Padang Maya dan kemudiannya meninggal dunia di
situ.
BAB IV : SINGAPURA DILANGGAR TODAK.
Tuan Jana Khatib seorang yang mahir ilmu khayal lillah telah
datang ke Singapura. Dia telah menilik sebatang pohon pinang sehingga terbelah
dua. Perbuatannya itu menimbulkan kemarahan Paduka Seri Maharaja. Katanya Tuan
Jana Khatib nak menunjukkan kebolehan kepada isterinya. TJK telah dihukum
bunuh. Sebaik darahnya menitik ke tanah, tubuh TJK telah ghaib.Tubuhnya itu
dikatakan muncul di Langkawi. Selepas peristiwa ini, singapura telah dilanggar
oleh ikan-ikan todak. Ramai rakyat Singapura telah terbunuh.
Paduka Seri Maharaja telah menyuruh rakyatnya
berkubukan betis, ini menjadikan semakin ramai rakyatnya
terbunuh. Seorang budak telah mencadangkan supaya berkubu batang
pisang. Kecerdikan budak ini menimbulkan kerisauan di hati pembesar. Mereka
mencadangkan budak itu dibunuh.
Raja yang meninggal dunia digantikan
anaknya iaitu Raja Iskandar Syah. RIS mengahwini anak Tun Perpatih Tulus dan
mendapat seorang anak bernama Raja Ahmad ataupun nama timangannya Raja Besar
Muda. RBM dikahwinkan dengan Tuan Puteri Kamarul Ajaib, anak Raja Sulaiman
Syah, raja Kota Mahligai.
Anak bendahari raja Iskandar Syah telah dihukum canggai (sula) di
pasar kerana difitnah berbuat jahat dengan orang lain. Sang Rajuna Tapa merasa
sangat malu. Dia mengirimkan surat kepada Betara Majapahit meminta Majapahit
menyerang Singapura dan dia bersedia untuk belot dari dalam. Rakyat Majapahit
telah menyerang Singapura. Singapura dikepung selama sebulan oleh Demang mangku
Negara. Bekalan makanan dikatakan telah habis. Bila rakyat Singapura telah
keletihan, Sang Rajuna Tapa telah membuka pintu kota dan Singapura telah
dikalahkan.
Raja Iskandar Berlepas Ke Darat.
Raja Iskandar Syah melarikan diri ke tanah besar. Sang Rajuna Tapa
dan isteri menjadi batu kerana derhaka kepada raja. Iskandar Syah cuba membuka
sebuah negeri baru di Hulu Muar, malangnya ia diserbu oleh biawak. Jadi tempat
itu dinamakan Biawak Busuk. Baginda pindah ke Sungai Ujong membina
kota, keesukannya kota itu menjadi buruk. Lalu dinamakan Kota Burok. Pindah
pula ke Sening Ujong. Dari sini pindah lagi ke Bertam.
Membuka Negeri Melaka.
Di Bertam inilah berlaku peristiwa anjing pemburuan lari terjun ke
sungai dikejar oleh pelanduk putih. Semasa peristiwa berlaku, raja sedang
berehat di bawah pohon Melaka. Tempat itu dibuka dan dinamakan Melaka. Raja
Iskandar Syah memerintah Singapura selama 32 tahun. Selepas 3 tahun memerintah
Melaka, beliaupun mangkat. Raja Besar Muda pula menggantikannya memerintah
Melaka. Bagindalah raja yang pertama melantik 4 orang menteri untuk berkhidmat
di balai, 40 orang bentara dan anak-anak pembesar sebagai biduanda istana..
Di zaman Raja Kecil Besar, baginda telah
bermimpi berjumpa Rasulullah. Rasulullah telah mengajarkannya
kalimah tayyibah dan menukarkan namanya menjadi Sultan Muhammad Syah.
Rasulullah juga memberitahu pada waktu asar esukknya akan tiba sebuah kapal
dari Jeddah. Penumpangnya akan turun solat di pantai. Selepas bangun dari tidur
RKB mendapati tubuhnya berbau harum dan dia asyik mengulang sebut akan kalimah
sehingga disangka oleh para dayang yang baginda telah dirasuk oleh Syaitan.
Kedatangan Islam ke Melaka.
Raja telah memberitahu Bendahara yang ia bermimpi bertemu
Rasulullah. Sebagai buktinya, kalamnya kelihatan telah dikhatankan orang dan
akan datang sebuah kapal pada waktu Asar nanti. Pada petang itu datanglah
sebuah kapal dari Jeddah, Syed Abdul Aziz makhdum kapal itu telah turun
bersembahyang di pantai. SAA telah dibawa masuk ke istana dan semua orangpun
telah memeluk agama Islam. Mereka semuanya berguru pada SAA itu. Raja mengubah
namanya menjadi Sultan Muhammad Syah. Bendahara bergelar Seri Wak
Raja. Perdana Menteri bergelar Seri Amar Diraja. Penghulu bendahari pula
bergelar Seri Nara Diraja.
Baginda membuat beberpa pantang larang termasuk
melarang rakyat menggunakan kain warna kuning melainkan untuk dibuat kain, baju
dan destar. Rakyat juga tidak boleh berbuat rumah tiang gantung, Perahu tidak
boleh bertingkap dan berpenghadapan. Tidak boleh memakai penduk dan teterapan
keris. Tidak boleh bergelang emas di kaki. Tidak boleh berkeroncong emas kepala
perak. Barangan emas tidak boleh dipakai kecuali dianugerahkan oleh raja. Jika
hendak masuk ke istana perlu memakai kain berpancung, berkeris di hadapan dan
bersebai. Jika keris di belakang akan dirampas. Payung putih khusus untuk raja.
Payung kuning pula untuk putera raja.
Susunan Tertib Adat Istiadat Raja.
Peraturan
dan protokol sangat penting dalam kehidupan di istana terutama dalam majlis
penghadapan di Balairung Seri. Dalam acara nobat dan menjunjung duli. Semasa
menyambut kedatangan utusan dari negara luar dan semasa raja mahu berangkat
kemana-mana. Sama ada ketika raja mahu ke masjid di hari Jumaat, di malam bulan
Ramadhan untuk berterawih di masjid dan juga di hari raya. Semua
peraturan ini adalah untuk menjaga keselamatan raja dan mengagungkan raja berkenaan.
Di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah itu,
Melaka telah berkembang dengan luasnya. Wilayah di sebelah timur hingga ke
Terengganu dan di sebelah barat hingga ke Beruas Ujung Karang. Raja terkenal
sebagai keturunan Iskandar Zulkarnain, Raja Nusyirwan Adil dan Nabi Sulaiman
a.s.. Pedagang Arab menggelarkan Melaka sebagai Malakat yang beerti tempat
perhimpunan segala dagang.
Membuang Diri Kerana Berkecil Hati.
Mani Purindam adalah anak seorang raja di negeri Pahili di Benua
Keling. Dia telah berhijrah ke Melaka kerana berkecil atas sikap adiknya yang
tidak mahu mendengar pandangannya dalam membahagikan harta pusaka bapa mereka.
Di Melaka, Mani Purindam dilantik menjadi menteri. Dia berkahwin dengan Ratna
Sandari. Hasilnya lahirlah Tun Ali dan Tun Ratna Wati. Tun Ratna Wati ini
dikahwini oleh Sultan dan lahirlah Raja Kassim.
Sultan Muhammad juga mengahwini anak raja Rekan
dan mendapat seorang anak lelaki bernama Raja Ibrahim. Sultan Muhammad lebih
mengasihi Raja Ibrahim disebabkan sikap isterinya itu dan dia bercadang untuk
merajakan Raja Ibrahim. Sebaliknya rakyat lebih mengasihi Raja Kassim.
Bila Bendahara Seri Wak Raja meninggal dunia,
dia digantikan oleh Seri Amar Diraja. Seri Amar Diraja telah menjadikan Tun Ali
sebagai menantunya. Tun Ali juga dilantik menjadi Seri Nara
Diraja. Sultan Muhamad Syah juga telah meninggal dunia selepas 67
tahun memerintah kerajaan Melaka.
Istana Di Bawah Pengaruh Raja Rekan.
Raja Ibrahim ditabalkan sebagai Raja Melaka bergelar Sultan Abu
Syahid. Pada ketika itu dia masih kanak-kanak. Jadi Raja Rekanlah menjadi orang
yang berkuasa di istana Melaka. Raja Kassim dihalau dari istana dan menjadi
seorang pengail. Satu ketika seorang maulana bernama Maulana Jalaluddin datang
ke Melaka.
Peristiwa Rampas Kuasa.
Dia telah membantu Raja Kassim dan Seri Nara Diraja merampas kuasa
dari Sultan Abu Syahid. Mereka juga dibantu oleh Bendahara. Dalam
rampasan kuasa itu Raja Rekan telah membunuh Sultan Abu Syahid supaya mati
bersama-samanya.
Raja Kassim telah ditabalkan menjadi sultan
bergelar Sultan Muzaffar Syah. Maulana Jalaluddin yang mahu mengahwini Puteri
Rekan ditipu dengan seorang dayang istana. Dayang itu disangka Puteri Rekan dan
di bawa ke atas angin.
Semasa menjadi raja, Sultan Muzaffar Syah sangat
memuliakan pula Seri Nara Diraja. Ini kerana SND itu adalah bapa saudaranya
yang telah menolongnya merampas kuasa. Bendahara Seri Wak Raja tidak begitu
diendahkannya. Satu hari Bendahara datang ke istana berkebetulan Raja sudah
hendak masuk kerana dia sudah lama di balai penghadapan. Pintu pula tertutup
oleh tiupan angin. Bendahara menyangka Sultan tidak berkenan lagi padanya dan
diapun membunuh diri. Peristiwa ini sangat dikesali oleh sultan.
Bila Bendahara Seri Wak Raja meninggal, Seri
Nara Diraja pun dilantik menjadi bendahara. Anak bendahara Seri Wak Raja ada
tiga orang iaitu Tun Kudu, Tun Perak dan Tun Perpatih Putih. Tun Kudu
diperisterikan oleh Sultan Muzaffar Syah. Tun Perak diangkat oleh orang Kelang
sebagai penghulu.
BAB V : BAKAT KEPIMPINAN TUN PERAK.
Raja Negeri Siam atau negeri Syahrun Nuwi iaitu Paduka Bubunya
mahukan negeri Melaka menyembah kepadanya. Sultan Muzaffar Syah enggan
menyembah. Jadi paduka Bubunya menitahkan panglimanya yang bernama Awi Chakri
menyerang Melaka. Tun Perak telah membawa tenteranya untuk mempertahankan
Melaka bersama-sama orang perempuan masing-masing. Pengikutnya tidak puas hati
dan mengadu kepada raja. Tun Perak menyatakan bahawa orangnya akan berperang
dengan lebih bersungguh-sungguh dari orang lain kerana mahu menjaga keselamatan
isteri mereka masing-masing di samping berperang untuk raja. Sultan berpuas
hati dengan jawapan tersebut dan telah melantik Tun Perak menjadi bentara di
istana. Tidak lama kemudian dilantik pula menjadi menteri bergelar Paduka Raja.
Satu Cara Mengelakkan Pecah Belah.
Setelah Tun Perak menjadi menteri, orang-orang Melaka berpecah
dua. Keadaan ini merunsingkan Sultan Muzaffar Syah. Untuk merapatkan hubungan
Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja, Sultan telah menceraikan Tun Kudu untuk
dikahwini oleh Seri Nara Diraja. Tun Kudu ialah anak Bendahara Seri Wak Raja
iaitu kakak Paduka Raja Tun Perak. Dengan itu SND telah melepaskan jawatan
Bendahara untuk diberikan kepada PR. Tun Perak dikatakan sama taraf dengan
Patih Aria Gajah Mada di Pajapahit dan Orang Kaya Senayan di Pasai.
Langgaran Siam Dipatahkan.
Angkatan Siam telah datang menyerang Melaka sekali lagi, diketuai
oleh Awi Dicu. Paduka Raja diarahkan menghalang angkatan Siam bersama Seri Bija
Diraja Tun Hamzah atau Datuk Bongkok. Angkatan mereka bertemu di Batu Pahat.
Anak SBD iaitu Tun Omar disuruh menjadi suluh. Semasa dia menyiasat kapal-kapal
Siam itu dua tiga buah perahu telah dikalahkannya.
Pada waktu malam, Bendahara Paduka Raja telah menyuluh dipasangkan
api pada pohon-pohon bakau, nyireh, tumu dan api-api ditepi pantai. Angkatan
Awi Dicu tersalah anggap yang angkatan Melaka terlalu ramai. Kerana gerun
merekapun cabut lari. Melihat itu angkatan Melaka telah mengejar angkatan Siam
hingga ke Singapura. Sultan Muzaffar Syah sangat gembira.
Raja Siam iaitu Paduka Bubunya sangat marah. Dia sendiri bercadang
akan menyerang Melaka. Mendengar itu Cau Panden anaknya menghalang dan berjanji
akan menyerang Melaka. Perkhabaran Cau Panden akan menyerang Melaka itu
terdengar ke Melaka. Seorang Arab yang dikenali sebagai Tuan Saidi Arab telah
memanah Cau Panden itu dari Melaka yang menyebabkannya terbunuh.
Pemerintahan Sultan Mansur Syah.
Setelah memerintah selama 42 tahun, Sultan Muzaffar Syah pun
meninggal dunia. Beliau telah digantikan oleh anaknya Raja Abdullah yang
bergelar Sultan Mansur. Pada masa menaiki takhta berumur 27 tahun. Isterinya
ialah Tun Putih, anak Seri Nara Diraja. Mempunyai seorang anak gundik bernama
Puteri Bakal.
Baginda memerintahkan Bendahara Paduka raja dan Seri Bija Diraja
menyerang negeri Inderapura yang diperintah oleh Maharaja Dewa yang berada di
bawah taklukan Siam. Bendahara pula dapat menawan Puteri Onang Sari.
Raja Indera Pura Ditawan.
Maharaja Dewa Sura berjaya ditangkap oleh Seri Bija Diraja dan
dibawa balik ke Melaka. Atas jasanya Seri Bija Diraja dinobatkan di Pahang oleh
Sultan Mansur. Puteri Onang Sari dikahwini oleh Sultan Mansur dan mendapat dua
anak iaitu Raja Muhammad dan Raja Ahmad.
Hubungan Muhibbah Melaka – Sulawesi.
Sultan Mansur Syah mahu hubungan dengan Makasar dipereratkan. Seri
Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja telah diutuskan untuk ke
sana. Mereka berjaya mengadap raja di Goa dan baginda sangat suka
hati untuk bermuafakat dengan Melaka. Apabila mereka mahu kembali ke
Melaka, raja Goa telah berusaha mendapatkan seorang budak untuk dihadiahkan
kepada Sultan Mansur
Dari Mana Hang Tuah Berasal.
Raja di Goa telah berjaya mendapatkan anak Raja Bajung yang
bernama Daeng Mempawah untuk dihadiahkan kepada Sultan Mansur Syah. Budak ini
berumur 12 tahun dan diberikan nama Hang Tuah oleh sultan. Dia seorang yang
berani dan telah berjaya membunuh 2 orang yang mengamuk. Di Melaka pada masa
itu terdapat 9 orang “Perhangan” iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir,
Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Hussin.
Maharaja Dewa Sura Dibebaskan.
Gajah Sultan Mansur Syah yang dibawa Kemanci telah terlepas dan
lari ke hutan. Panglima gajah iaitu Seri Rama telah gagal mencarinya semula.
Maharaja Dewa Sura telah dicadangkan untuk menangkap gajah itu. Tapi baginda
mensyaratkan supaya dia dibebaskan dahulu. Sultan Mansur bersetuju dan beliau
telah berjaya menangkap gajah itu semula. Sekalian anak-anak muda di Melaka
disuruh belajar ilmu gajah dengan MDS itu.
Seri Nara Diraja yang beristerikan
Tun Kudu telah berjaya mendapat 3 orang anak iaitu Tun Tahir, Tun Senaja dan
Tun Mutahir. Bila Tun Kudu mati, SND kahwin lain dan mendapat 2 orang lagi anak
iaitu Tun Bongsu dan Tun Sadah.
Hubungan Berbaik-Baik Melaka-Siam.
Sultan Mansur Syah ingin hubungan dengan Siam dipulihkan. Tun
Telanai dan Menteri Jana Putera telah diutuskan ke sana. Mereka telah berjaya
mengadap Paduka Bubunya dan mengangkat martabat dan menjaga maruah raja Melaka.
Sultan Mansur diberikan makna sebagai raja yang dimenangkan akan Allah taala
daripada segala seteru. Bila ditanya kenapa Melaka tidak dapat dikalahkan oleh
Siam, Tun Telanai telah menyuruh Suir, seorang tua yang untut tetapi
belakangnya tidak lut dtikam oleh lembing. Sekalian orang Melaka dikatakan
seperti Suir itu, iaitu tidak lut ditikam dengan lembing. Paduka Bubunya telah
percaya dengan tipu helah itu.
Paduka Bubunya juga telah menyuruh angkatan Melaka membantu Siam
menewaskan musuhnya dalam satu peperangan di sana. Mereka diminta berperang
dengan pasukan yang kuat. Kebetulan di arah kiblat. Menteri Jana Putera telah
mengatakan orang Islam tidak boleh berperang mengadap kiblat kerana itu adalah
arah untuk sembahyang. Tipu helah itu dipercayai oleh Raja Siam.
Mereka disuruh berperang ke hala matahari
terbit dan berjaya dalam perang tersebut. Paduka Bubunya telah memberi
hadiah kepada semua ahli rombongan dari Melaka itu. Tun Telanai diberikan
seorang puteri bernama Onang Minaling Lang. Dari perkahwinan itu melahirkan Tun
Ali Haru.
BAB VI : MALANG MEMBAWA TUAH.
Anak raja Tanjung Pura telah hanyut ke pantai Begawan dan
diselamatkan oleh seorang penyadap. Namanya Raden Perlan Langu. Dia diberi nama
gelaran Ki Mas Jaya. Si penyadap selalu menyatakan bahawa Ki Mas Jaya bakal
berkahwin dengan Puteri Galoh Awi Kesuma, puteri Ratu Majapahit. Ki Mas Jaya
pula menyatakan akan mengangkat si Penyadap menjadi Patih Gajah Mada.
Kebetulannya Awi Kesuma telah besar dan Patih
Gajah Mada sendiri ada mendengar bisikan dari rakyatnya yang dia sendiri akan
mengahwini puteri tersebut. Lalu Patih Gajah Mada mencadangkan supaya Awi
Kesuma berkahwin. Untuk itu segala rakyat diminta berkumpul untuk Awi Kesuma
sendiri memilih bakal suaminya.
Bakal Ratu Majapahit.
Setelah Awi Kesuma memandang Ki Mas Jaya iapun berkenan lalu
mereka dikahwinkan. Ki Mas Jaya diangkat menjadi betara Majapahit. Si Penyadap
pula menuntut Betara Majapahit menunaikan janji untuk mengangkatnya menjadi
Patih Gajah Mada. Ki Mas jaya membuka rahsia dirinya yang dia anak raja Tanjung
Pura dan tuntutan si penyadap. Atas cadangan Patih Gajah Mada, si penyadap
telah dijadikan ketua para penyadap dan diberi gelar Patih Adi Kara. Didudukkan
sama taraf dengan PGM.
Berita tentang Ki Mas Jaya sebagai anak raja Tanjung Pura telah
kedengaran kepada ayahandanya. Utusan telah dihantar dan mereka sangat gembira
melihat Raden Perlan Langu masih hidup dan menjadi Betara Majapahit pula. Hasil
perkahwinan Ki Mas Jaya dengan Raden Awi kesuma lahirlah Raden Galuh cendera
Kirana yang amat masyhur kecantikannya itu. Telah ramai anak raja yang datang
meminang tetapi tidak diterima oleh Betara Majapahit itu.
Menjalin Muhibah Melaka-Majapahit.
Sultan Mansur Syah juga turut jatuh berahi pada Raden Galuh
Cendera Kira itu. Satu rombongan untuk meminang ke sana segera bertolak.
Bendahara Paduka raja ditugaskan mentadbir negara. Dia ke sana dengan diiringi
oleh 40 orang “Perawangan” dan semua “Hanghang” yang sembilan orang itu yang
diketuai oleh Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah telah beroleh gelaran Laksamana
dari Sultan yang mengenang jasanya membunuh seorang orang tua Jawa yang
mengamuk di Melaka. Hang Tuah sebelum itu telah berjaya membunuh 74 orang,
orang mengamuk di Melaka.
Sultan Mansur Syah juga diiringi oleh raja-raja
dari Inderagiri (Sultan Nara Singa), Tungkal (Raja Merlang), Jambi (Adipati
Sira Sela Sida), Palembang (Demang Mangku Raja) dan dari Lingga (Maharaja
Isak). Rombongan SMS telah sampai ke Majapahit. Pada masa itu RajaTanjung
Pura dan Kediri ada mengadap. Betara Majapahit telah menganugerahkan 40 bilah
keris kepada rombongan. Keris yang diberikan kepada raja Kediri dan Tanjung Pura
dapat dicuri semula. Keris yang diberikan kepada Raja Melaka tidak dapat. Ini
menunjukkan raja Melaka lebih cerdik dari raja-raja yang lain.
Telatah Budak-Budak Raja Melaka.
Di Majapahit, Hang Tuah telah mencabar Tun Bijaya Sura menunjukkan
kebolehannya. Tun Bijaya Sura telah menari di hadapan Betara Majapahit.
Digertaknya anjing yang ada dibalai itu, terkejut ketakutan dan terus lari ke
hutan. Dia juga bermain “Sapu-sapu rengit”. Dalam permainan itu dia dan
pembantunya dapat duduk dan melunjurkan kaki ke arah Betara Majaphit.
Kelakuannya itu dapat dikesan oleh Betara Majapahit sebagai mahu membalas
perbuatannya yang menambatkan anjing di hadapan raja Melaka, seolah raja Melaka
itu menyembah anjing tersebut.
Tun Bijaya Sura pula mencabar Hang Tuah naik
menceroboh ke balai larangan Betara Majapahit. Hang Tuah dan kawan-kawannya
telah naik ke balai tersebut lalu segera ditombak orang. Beratus tombak
dilempar tetapi habis semuanya diparang oleh Hang Tuah. Setelah diketahui oleh
Betara Majapahit, dibiarkan sahaja oleh baginda. Mata tombak yang beratus-ratus
berkas itu diberikannya pula kepada Hang Tuah.
Kehebatan Hang Tuah telah menjadikan dirinya
kegilaan kepada perempuan-perempuan di tanah Majapahit itu. Sehinggakan
terdapat pantun dibuat orang untuk menggambarkan kehebatan Hang Tuah
tersebut. Tun Bijaya Sura telah diminta oleh Betara Majapahit menunjukkan
tariannya lagi. Dia telah menarikan “berkeliling gelagat”. Dalam permainan ini
dia telah mengayunkan sapu tangan yang dipinjamnya dari Raja Melaka. Habis muka
para penjawat Majapahit itu disapunya. Mereka hendak marah tidak dapat kerana
Tun Bijaya Sura bermain itu dititahkan oleh Betara Majapahit sendiri.
Untuk memperkenakan Tun Bijaya Sura, Betara
Majapahit telah memberikan persalinan cara Jawa iaitu dengan berkeris di
belakang. Disuruhnya seorang pencuri mencuri semula keris itu dari Tun Bijaya
Sura ketika beliau sedang asyik melihat orang menyabung. Bila TBS menyedari
kerisnya dicuri, dia pula mencuri keris dalam puan Betara majapahit. BM sengaja
menunjukkan keris yang dicari dari TBS dengan berpura-pura untuk menunjukkan
keelokannya. TBS pula menunjukkan keris yang dicurinya. Jadi sedarlah BM yang
kerisnya sendiri juga telah dicuri oleh TBS. Jadi keris itu dikembalikan kepada
TBS dan keris kedua itu dihadiahkan kepada TBS juga. Setelah genap kerja
berjaga-jaga selama 40 hari 40 malam, maka Sultan Mansur pun dikahwinkan dengan
Raden Galoh Cendera Kirana.
Memohon Jajahan Sebelum Kembali.
Sebelum kembali ke Melaka, Tun Bijaya Sura disuruh Raja
Melaka mintakan daerah Inderagiri. Hang Tuah meminta daerah Siantan. Hasil
perkahwinan SMS dengan RGCK, lahirlah Raden Di Kelang. Hasil perkahwinan dengan
anak Seri Nara Diraja mendapat dua anak iaitu Raja Mahadewi dan Raja Cendana.
Dari perkahwinannya dengan saudara Paduka Raja yang bongsu, lahir pula Raja
Hussein.
Hang Tuah Dihukum Bunuh.
Satu ketika kuda Sultan Mansur Syah jatuh ke dalam telaga tahi.
Beratus-ratus orang yang melihat peristiwa itu. Seorangpun tidak mahu turun.
Lalu Hang Tuah Terjun kedalam telaga dan menambat kuda dengan tali. Barulah
kuda dapat ditarik naik ke atas.
Hang Tuah telah dituduh bermukah dengan seorang
dayang istana. Sultan telah menyuruh Seri Nara Diraja menjalankan hukum bunuh.
Bagaimanapun Seri Nara Diraja tidak menjalankan hukum itu sebaliknya Hang Tuah
telah dihantarkan ke dusunnya di hulu Melaka. Dipasungkan.
Perhubungan Dengan Negeri China.
Raja benua China telah menghantar utusan ke Melaka untuk
menjalinkan hubungan persahabatan. Dihantarkan juga hadiah seperti kain-kain
sutera dan juga sebuah pilau yang sarat dengan jarum. Jarum itu menunjukkan
ramainya rakyat China. Sebagai balasan Tun Perpatih Putih, adik bendahara
Paduka Raja dihantar pula ke China. Dia membawa sagu rendang sarat sekapal.
Ragu rendang itu kononnya diambil sebiji seorang dari rakyat Melaka lalu
digelek-gelek. Raja China kagum dengan kebesaran negeri Melaka, lalu berkenan
untuk menjadikan raja Melaka sebagai menantunya.
Untuk melihat Raja China, Tun
Perpatih meminta dihidangkan sayur kangkung yang dipotong panjang-panjang.
Untuk makan dibimbit hujung kangkung itu ke atas. Jadi dapatlah mereka melihat
Raja China yang berada di atas kerusi dalam mulut naga pada mungkur kacanya.
Raja China meminta Sultan Mansur datang ke China
bagi dikahwinkan dengan puterinya. TPP menyatakan Sultan tidak dapat datang
kerana ada permusuhan. Jadi baginda bersetuju supaya puterinya itu dihantarkan
ke Melaka.
Puteri Raja China Ke Melaka.
Raja China menghantarkan puterinya bernama Hang Liu ke Melaka.
Puteri itu bersama 500 dayang dan 500 pengiring lelaki telah diislamkan oleh
Raja Melaka. Puteri itu dikahwininya. Mereka disuruh diam di Bukit China.
Bila Laksamana Lak Di Po ingin kembali ke negeri
China, Menteri Jana Putera dan Tun Telanai pula disuruh pergi ke negeri China.
Dalam perjalanan mereka terbias ke Brunai kerana ribut. Raja Brunai juga
berkirim sembah ke Melaka.
Kedal Kerana Tulah.
Selepas 2 hari menerima sembah raja Melaka, raja China telah
didatangi penyakit kedal anjing. Seluruh tubuhnya telah menjadi gatal-gatal.
Beratus-ratus tabib cuba mengubati tetapi gagal. Sehinggalah seorang tabib tua
mengatakan penyakit itu berpunca dari menerima sembah raja Melaka.
Utusanpun dihantar ke Melaka memohonkan air
basuh kaki dari Raja Melaka. Bila air itu diminum dan dibuat basuh
muka. Penyakit kedal itupun hilang. Dengan sebab itu Raja China bersumpah tidak
lagi mahu disembah oleh Raja Melaka. Begitu juga dengan keturunannya takut
terkena tulah.
BAB VII : HANG JEBAT KESIANGAN DI ISTANA.
Hang Jebat telah mengamuk di dalam istana raja. Ini menyebabkan
Sultan dan permaisuri terpaksa melarikan diri. Bila tiada seorangpun hulubalang
yang dapat membunuh Hang Jebat itu, raja mula terkenangkan Hang
Tuah. Bila keadaan mengizinkan, Seri Nara Diraja pun menyembah dan
memberitahu bahawa Hang Tuah masih hidup di Hulu Melaka. Lalu Hang Tuah disuruh
ambilkan. Dia diampuni dan disuruh membuang arang di muka raja.
Pertarungan Hang Tuah – Hang Jebat.
Hang Tuah dengan segera ke istana bertikam dengan Hang Jebat. Dua
tiga kali kerisnya terlekat di dinding dan tiang. Dibenarkan oleh Hang Jebat
untuk dicabut semula. Sekali keris Hang Jebat terlekat, terus dia ditikam oleh
Hang Tuah. Dengan tikaman kedua, Hang Jebatpun meninggal dunia. Mayat Hang
Jebat dibuang ke laut. Anak isterinya diumbut. Rumahnya juga dibuang ke laut.
Istana tempat Hang Jebat mati itu tidak lagi mahu diduduki. Istana baru minta
diperbuatkan. Istana baru sangat hebat. Mempunyai 17 ruang dengan 40 buanh
pintu berukir. Istana dinamakan orang “Mahligai Hawa Nafsu”.
Pangkat laksamana dikembalikan semula kepada
laksamana. Dia didudukkan sama taraf dengan Seri Bija Diraja dan dibenarkan
memikul pedang kerajaan. Seri Bija Diraja pula diberikan daerah Sening Ujung.
Istana Sultan Mansur Syah Terbakar.
Dengan takdir Allah taala, istana yang baru siap itu telah
terbakar. Bagaimanapun banyak harta dapat diselamatkan. Akibat peristiwa ini,
ramai pula orang-orang muda yang menerima anugerah raja kerana menyelamatkan
harta raja. Sebuah istana baru pula diminta siapkan dalam masa sebulan.
Bendahara telah membahagikan kerja-kerja membina istana ini kepada
pembesar-pembesar jajahannya. Dengan itu istana baru berjaya disiapkan. Bahkan
lebih baik dari istana yang terbakar itu.
Ramalan Bendahara Paduka Raja.
Seri Nara Diraja telah jatuh sakit. Dia memanggil Paduka Raja
memintakan Paduka Raja menguruskan anak-anaknya yang masih kecil. Lagipun
mereka itu adalah anak-anak saudara Paduka Raja sendiri. Emas sebanyak 5 buah
candu peti diminta bahagi-bahagikan antara mereka. Anak-anak SND itupun
pindahlah ke rumah Paduka Raja. Pada Satu waktu subuh, Bendahara telah melihat
ada cahaya yang terpancar dari kepala Tun Mutahir ke langit.
Bendahara meramalkan bahawa Tun Mutahir akan dapat menjadi orang besar. Bahkan
lebih dari dirinya tetapi kebesaran itu tidak kekal lama.
Bila Tun Tahir dan Tun Mutahir besar, mereka
telah meminta emas yang ditinggalkan oleh ayahnya. Bendahara tidak memberinya.
Sebaliknya mereka diberikan 10 tahil emas untuk dibuat berniaga. Setelah cukup
setahun, kedua mereka itu datang untuk membayar hutang. Ini membuktikan yang
mereka mampu menguruskan harta. Lalu emas itu dan semua emas yang disimpan
diberikan kepada mereka. Tun Tahir telah dilantik menjadi Bendahari
menggantikan bapanya dan bergelar Seri Nara Diraja, Tun Mutahir dijadikan
Temenggung dan bergelar Ser Maharaja. Tun Abdullah pula diberi gelar Seri Nara
Wangsa.
Akibat Tiada Menyembah Ke Melaka.
Pemerintah Kampar yang bernama Maharaja Jaya tidak menyembah ke
Melaka. Jadi Sultan Mansurpun menitahkan satu angkatan pergi menyerang ke
Kampar dengan diketuai oleh Seri Nara Diraja. Dibantu oleh Khoja Baba. Mereka
telah berjaya mengalahkan Kampar. Maharaja Jaya dan mangkubuminya yang bernama
Tun Demang telah terbunuh. Negeri Kampar diserahkan kepada Seri Nara Diraja dan
dia telah melantik seorang adipatinya ke sana.
Sesudah Kampar, Siak Pula.
Pemerintah Negeri Siak bernama Maharaja Parameswara juga tidak
mahu menyembah ke Melaka. Sultan Mansur memerintahkan Seri Udana untuk
menyerang Siak bersama angkatannya. Mereka telah berjaya membunh Maharaja Parameswara.
Anaknya yang bernama Megat Kudu dan Tun Jana Pakibul ditawan dan di bawa balik
ke Melaka. Megat Kudu telah dikahwinkan oleh Sultan Mansur dengan puterinya
yang bernama Raja Mahadewi. Dia dirajakan semula di Siak dengan gelaran Sultan
Ibrahim. Tun Jana dilantik sebagai Mangkubuminya.
Ditolak Bumi Melaka.
Raja Muhammad yang bakal menggantikan ayahnya Sultan Mansur telah
menyebabkan Tun Besar, anak Paduka Raja meninggal dunia. Anak-anak buah Paduka
Raja mahu menderhaka untuk membalas dendam. Bendahara menentang hasrat tersebut
tetapi bersumpah tidak mahu berajakan Raja Muhamad.
Akibatnya Sultan Mansur telah menghantar Raja
Muhammad untuk beraja di Pahang. Bergelar Sultan Muhammad Syah. Raja Muhammad
telah berkahwin dengan Mengindera Puteri, cucu Sultan Iskandar, Sultan
Kelantan. Mendapat tiga orang anak iaitu Raja Ahmad, Raja Jamil dan Raja
Mahmud.
Juara Catur.
Ialah Tun Bahara, orang pasai yang datang ke Melaka. Tiada siapa
yang dapat menandinginya. Bermain tanpa berfikir, sambil bersyair, berbait,
bergurindam dan berseloka. Cuma yang dapat sedikit menandinginya ialah Tun
Pikrama, anak Bendahara Paduka Raja.
Disuruh Merompak Ke Ujung Tanah.
Raja di negeri Meluluki, Makasar bernama Keraeng Majiko
beristerikan anak Keraeng di Tandering Jikamak tujuh saudara. Anak dari puteri
yang tua bernama Semerluki. Apabila dewasa, Semerluki telah berahikan emak
saudaranya yang bongsu. Ayahnya mengetahui hasrat Semerluki itu dan menyuruhnya
pergi merompak ke Ujung Tanah (wilayah Melaka) untuk mendapatkan perempuan-perempuan
yang cantik. Jadi Semerluki telah pergi merompak ke pulau Jawa, wilayah
taklukan Siam, Melaka dan juga Pasai. Di Melaka dia ditentang oleh angkatan
Laksamana Hang Tuah dan di Pasai oleh Orang Kaya Kenayan. Jawa dan Siam berjaya
dialahkannya tetapi dia gagal di Melaka dan juga Pasai.
Kitab Duri’l Mazlum.
Maulana Abu Ishak adalah seorang ulama tasawuf di Mekah. Beliau
mengarang kitab Duri’l Mazlum. Beliau telah menyuruh anak muridnya yang bernama
Maulana Abu Bakar supaya menyebarkan isi kitab itu ke Melaka. Di Melaka,
Maulana Abu Bakar dimuliakan oleh Sultan Mansur yang turut berguru dengannya.
Kadi Melaka iaitu Kadi Yusuf pada mulanya tidak mahu berguru dengan Maulana Abu
Bakar tetapi selepas dia terpandangkan maulana itu yang dipenuhi cahaya seperti
sumbu dian, maka diapun turut berguru sama. Malah dia telah meletak jawatan
kadi dan digantikan anaknya Kadi Munawar.
Orang-orang Melaka dan Pasai pada masa itu
sangat minat untuk belajar ilmu agama. Kitab Duri’l Mazlum dapat diberikan
makna (terjemahan) oleh Makhdum Patakan, orang Pasai. Sultan Mansur juga pernah
bertanyakan kemusykilan agama kepada Makhdum Mua di Pasai itu.Tentang kekal
atau tidaknya penghuni Syurga dan Neraka.
BAB VIII : RAJA CEMPA DAN ZURIATNYA.
Raja Campa telah memperolehi seorang budak dari mayang pinang dan
diberi nama Pau Gelang. Dia dikahwinkan dengan Pau Bania. Pau Gama dari
keturunanannya telah datang mengadap ke Majapahit. Dia dikahwinkan dengan Raden
Galuh Ajeng. Anaknya dinamakan Raja Jakanak. Pada masa Pau Cin memerintah telah
berlaku perang antara Cempa dengan Kuci. Raja Kuci telah merasuah Penghulu
Bendahari menyebabkan Cempa dapat dikalahkan. Dua orang anak raja
Cempa iaitu Syah Indera Berma dan Syah Pau Ling telah pergi ke Melaka dan Aceh.
Syah Indera Berma telah memeluk agama Islam. Dia dijadikan menteri di Melaka
oleh Sultan Mansur Syah.
Gema Peristiwa Rampas Kuasa Di Pasai.
Pemerintah Pasai bernama Sultan Zainal Abidin. Saudaranya telah
merampas kuasa. Dia lari ke Melaka. Sultan telah menyuruh Bendahara Paduka Raja,
Seri Bija Diraja dan Laksamana serta 2 laksa tentera pergi merajakan semula
Sultan Zainal Abidin. Setelah beberapa kali perang, Sultan Zainul Abidin
berjaya ditabalkan semula. Dia enggan menyembah ke Melaka. Belumpun angkatan
Melaka sampai ke Melaka , sultan itu berjaya dikalahkan semula. Laksamana
cadangkan supaya angkata berpatah balik untuk merajakan semula Sultan Zainal
abidin tetapi Bendahara enggan. Bila kembali ke Melaka, Bendahara
telah dimurkai Sultan.
Bila ditanya Sultan, Laksamana telah menyatakan
keburukan Bendahara semasa di Pasai sedangkan bila Bendahara dipanggil, dia
telah memuji-muji laksamana. Ini menyebabkan laksamana malu sendiri. Dia segera
pergi ke rumah bendahara dan menyembah, meniarap di kaki bendahara.
Wasiat Sultan Mansur Syah.
Hasrat Sultan Mansur Syah mahu melantik Raden Kelang, anakanda
baginda dengan Raden Galuh Cendera Kirana menggantikannya, Malangnya Raden
Kelang mati terbunuh oleh orang mengamuk. Paduka Mimat, anakanda baginda dengan
Puteri Hang Liu juga sudah meninggal. Saudaranya Paduka Seri Cina dirajakan di
Jeram, hampir Langat. Bila SMS hampir meninggal dia mewasiatkan agar Raja Ahmad
atau nama timangannya Raja Hussain dilantik menjadi sultan. Pesan baginda pada
Raja Hussain ;
i. Dunia tidak kekal, setiap yang hidup akan mati.
ii. Iman yang sempurna dan pekerti yang baik akan
kekal disebut orang.
iii. Hendaklah adil.
iv. Jangan mengambil hak orang tanpa izin.
v. Jangan lalai dari tugas (dihadap orang).
vi. Setiap kesukaran atau kesakitan hendaklah
ditolong.
vii. Setiap yang teraniaya disiasat.
viii. Muafakat dengan menteri dan orang besar.
ix. Patuh pada wasiat supaya dapat berkat.
Pemerintahan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah.
Sultan Alauddin beristeri dua orang. Isteri pertama ada 2 anak
iaitu Raja Menawar dan Raja Zainal. Isteri kedua ada 3 anak iaitu Raja Hitam,
Raja Muhammad dan Raja Zainal.Dalam negeri banyak berlaku kes kecurian. Bagi
mengatasi masalah, baginda sendiri telah keluar meronda bersama Hang Isap dan
Hang Ishak, penjawat sirih santap baginda. Terjumpalah dengan 5 orang pencuri
sedang mengusung peti. Diusirnya pencuri itu. Dia berjaya membunuh 2 orang dan
Hang Isap membunuh seorang, 2 orang lagi berjaya melarikan diri. Setelah itu ia
kembali ke istana.
Langkah Membasmi Pencuri.
Setelah Temenggung mendengar Sultan sendiri keluar meronda bersama
Hang Isap dan Hang Ishak, dia mulai mengeraskan kawalan. Sesiapa yang dijumpai berjalan
malam dibunuhnya. Membuatkan pencurian berjaya dibenteras. Sebuah balai dibina
di simpang empat di tengah negeri. Seorang penghulu ditugaskan berkawal di
situ. Sesiapa yang menjumpai harta orang hendaklah dipulangkan kalau tidak
tangannya akan dikerat. Setiap barang yang dijumpai dihantarkan ke balai.
Akibat Salam Dibacakan Sembah.
Maharaja Diraja, raja Haru telah mengutuskan Raja
Pahlawan ke Pasai. Surat Maharaja Diraja yang berkirim salam dikatakan berkirim
sembah oleh khatib yang bertugas. Bila teguran tidak diendahkan,
Raja Pahlawan telah mengamuk. Ramai rakyat Pasai terbunuh. Raja Pahlawan dan
rombongannya juga ramai terbunuh. Mulai kes itu, Haru bermusuhan dengan Pasai.
Maharaja Diraja telah menyuruh pahlawannya yang
bernama Seri Indera mengamuk dalam jajahan Pasai. Seri Indera terlanjur hingga
ke jajahan Melaka. Sultan Alaudin telah menitahkan Paduka Tuan, Laksamana Hang
Tuah dan Seri Bija Diraja menyekat amukan Haru. Orang Haru kalah dan
mengundurkan diri.
Mia Ruzul Dengan Kambing Randuk.
Mia Ruzul adalah seorang keling yang turut serta dalam angkatan
perang Melaka. Dia telah ke darat untuk buang air besar. Terpandangkan seekor
kambing disangkanya orang tua Haru yang mengintainya. Bila disergah kambing itu
melawan, akibatnya Mia Ruzul lari lintang pukang. Bila disiasat ternyata
hanyalah seekor kambing. Semua orang ketawa dan marahkan Miz Ruzul.
Peperangan berlaku lagi antara orang Melaka
dengan orang Haru di Pengkalan Dungun. Orang Haru telah minta diadakan
perdamaian dan diterima oleh Paduka Tuan. Tidak lama selepas kembali ke Melaka,
Seri Bija Diraja telah meninggal dunia dan dia digantikan oleh anaknya T un
Kerunta. Juga bergelar Seri Bija Diraja. Seorang lagi anaknya bergelar Tun Bija
Diraja.
Ketiganya Sama Gagah.
Raja Maluku telah lari ke Melaka bila negerinya dikalahkan oleh
Kastilan. Dia sangat pandai bermain sepak raga. Ditimangnya 100 – 200 kali
barulah diberikan kepada orang lain. Dia juga sangat gagah, Umbi pokok kelapa
diparangnya hingga putus. Begitu juga Telanai Terengganu dan Sultan Alaudin.
Telanai Terengganu melembing pokok kelapa tembus ke sebelah. Sultan Alaudin
pula gagah memanah. Telanai Terengganu yang pergi mengadap ke Melaka
tanpa memberitahu ke Pahang telah menimbulkan kemurkaan Sultan Muhammad
(Pahang). Baginda telah mengarahkan Seri Akar Diraja pergi membunuh Telanai
Terengganu. Telanai Terengganu mati terbunuh, anak-anak cucunya habis lari ke
Melaka. Sultan Melaka pada mulanya ingin menyerang Pahang tetapi atas nasihat
Bendahara, Laksamana Hang Tuah sahaja dihantar ke sana.
Gema Pembunuhan Telanai Terengganu.
Di Pahang, Hang Tuah telah menyuruh orangnya membunuh saudara
sepupu Seri Akar Diraja. Bila orang yang membunuh itu ditangkap, Hang Tuah
tidak membenarkan diambil sebarang tindakan kerana katanya, Seri Akar Diraja
juga ada salahnya dengan Sultan Melaka iaitu membunuh Telanai Terengganu tanpa
memberitahu ke Melaka. Sultan Muhammad mengatakan Telanai Terengganu dibunuh
kerana katanya Telanai Terengganu biadab dengan mengatakan negeri Melaka itu
terletak di bawah kelangkangannya.
BAB 1X : MEMBUNUH TANPA MEMBERITAHU KE MELAKA.
Sultan Ibrahim telah menyuruh Tun Jana Pakibul membunuh seorang
pesalah di Siak. Hal ini diketahui ke Melaka. Hang Tuah telah diarah
untuk pergi ke Siak. Tun Jana Pakibul dimarahinya dalam majlis Sultan Ibrahim.
Sultan dan Tun Jana Pakibul terdiam. Bila Hang Tuah mahu pulang ke Melaka,
Sultan Ibrahim telah berkirim surat memohon kemaafan dari Sultan Alaudin. Pada
masa itu, tidak dibenarkan hukuman bunuh dalam taklukan Melaka melainkan dengan
pengetahuan Sultan Melaka.
Seorang anak Sultan Alaudin yang bernama Raja
Menawar telah dirajakan di Kampar. Bila Sultan Alaudin mangkat, tempatnya
digantikan oleh Raja Mamad. Pada masa itu Raja Mamad masih lagi seorang
kanak-kanak. Wasiatnya supaya Raja Mamad menggantikannya disampaikan di hadapan
Bendahara Paduka Raja, Kadi, Paduka Tuan, Seri Nara Diraja, Temenggung dan
Laksamana Hang Tuah.
Pemerintahan Sultan Mahmud Syah.
Kepada Raja Mamad, Sultan Alaudin berpesan supaya :
ð Banyak bersabar.
ð Memaafkan kesalahan hamba sahaya.
ð Utamakan pekerjaan akhirat dari kerja dunia.
ð Berserah diri atau bertawakkal kepada Allah.
ð Jangan mengaibkan pesalah, kalau perlu bunuh,
boleh dibunuh.
ð Patuh pada wasiat supaya dapat berkat Allah.
Setelah berwasiat kepada Raja Mamad, Sultan Alaudin pun mangkat.
Baginda digantikan oleh Raja Mamad dengan gelaran Sultan Mahmud Syah. Sekali
peristiwa Sultan Mahmud sakit perut buang-buang air. Terpaksalah Bendahara
Paduka Raja dan Laksamana mengasuhnya. Bendahara membasuh beras, Laksamana
memasaknya. Bila masak bendahara yang menyuapkan. Bila buang air, Laksamana
membasuhnya. Nenda baginda yang bergelar Raja Tua telah datang untuk melihat
Sultan Mahmud. Dia tidak dibenarkan hampir oleh bendahara. Ini kerana dia lebih
kasihkan Raja Menawar dan dia bercadang untuk membunuh Sultan Mahmud dengan
menindihnya sambil pura-pura menangis. Rancangannya tidak berjaya.
Bendahara Paduka raja dengan Laksamana.
Setelah sembuh dari sakit, Sultan Mahmud menganugerahkan Bendahara
dan Laksamana akan usungan. Laksamana menggunakannya tetapi bendahara tidak.
Bila anak-anak buahnya mengomen, Bendahara mengatakan dia tidak mahu dipandang
sama taraf atau lebih mulia dari Raja. Bendahara juga selalu memberikan apa-apa
hadiah istimewa yang diterimanya kepada laksamana seperti perahu, gajah, kuda
atau alat senjata. Alasannya supaya Laksamana dapat memanfaatkan alat-alat itu
untuk negara.
Wasiat Bendahara Paduka Raja.
Bila bendahara jatuh sakit, dia mengumpulkan semua anak cucunya.
Untuk mereka dia berwasiat. Nasihatnya kepada Tun Mutahir, Tun Zainal Abidin,
Seri Nara Diraja Tun Tahir, Tun Pauh dan juga Tun Isap. Sultan Mahmud juga
datang menziarahi Bendahara.
Setelah Bendahara Paduka Raja meninggal dunia
dia digantikan oleh saudaranya yang bernama Tun Perpatih Putih. Bergelar
Bendahara Putih. Bendahara ini sangat boros. Jikalau lilin panjang sejengkal
dibuangnya kerana dianggapnya puntung.
Nyaris Lembing Diterbangkan Ke Dada.
Sultan Mahmud telah berlaku curang dengan isteri Tun Biajid ketika
Tun Biajid pergi ke Merba. Semasa mahu pulang di waktu dinihari, dia
terserempak dengan Tun Biajid. Tun Biajid hampir melembing Sultan Mahmud
kalaulah tidak dingatnya yang Sultan Mahmud adalah tuannya. Isterinya itu
diceraikan. Sebagai ganti, Sultan memberikannya seorang gundik baginda yang
bernama Tun Iram Sendari.
Pada satu malam, Sultan Mahmud pergi ke rumah
Tun Dewi, Di sana di dapati telahpun ada Tun Ali Sandang. Dia memberikan
sirih dalam puan kepada Tun Isap sebagai isyarat supaya Tun Isap membunuh Tun
Ali Sandang itu.
Peristiwa Pembunuhan Tun Ali Sandang.
Setelah menerima sirih, Tun Isappun pergi membunuh Tun Ali
Sandang. Seri Wak Raja (anak bongsu Bendahara Paduka Raja) sangat marah, dia
mahu Tun Isap dibunuh tetapi Sultan Mahmud arahkan Tun Isap berlepas diri. Tun
Isap lari membawa diri ke merata tempat termasuklah ke Pasai, Haru dan Brunai.
Akhirnya dia kembali ke Melaka. Bila pulang Sultan menyuruhnya pergi mohon maaf
dengan Seri Wak Raja tetapi Tun Isap dibunuh sebaik dia sampai ketika Seri Wak
Raja masih lagi di atas gajah.
Pada waktu terdapat 4 orang yang sangat dikasihi
oleh Sultan iaitu Seri Wak Raja sendiri, Tun Umar, Hang Isa pantas dan Hang
Hussin Cengang. Baginda berjanji akan menunaikan apa sahaja permintaan mereka.
Bagaimanapun bila Seri Wak Raja memohon jadi panglima gajah, tidak ditunaikan
kerana Seri Rama masih hidup. Tun Umar mohon jadi raja di laut itupun tidak
ditunaikan kerana Laksamana masih hidup. Permintaan Hang Isa mahukan emas dan
kain baju, segera ditunaikan. Hang Hussin pula mohonkan kerbau 15 kelamin dan
hamba 50 orang. Segera juga ditunaikan.
Telatah orang-orang yang dikasihi raja.
Seri Wak Raja sendiri bila dipanggil oleh raja, sengaja dia
melewat-lewatkannya. Kecuali bila Tun Isap yang datang kerana Tun Isap akan
meminta pelbagai perkara sambil menantikan Seri Wak Raja siap. Sebenarnya Seri
Wak Raja adalah sangat mahir tentang gajah dan kuda. Kerana kemahirannya itu
dia berjaya mengahwini anak Kadi Menawar. Hang Isa Pantas pula mahir dalam
permainan layang-layang. Layang-layang Raja Ahmad yang besarpun putus apabila
bergesel dengan layang-layangnya. Hang Hussain pantas pula seorang yang kuat
makan.
Sultan Mahmud seorang yang cepat marah. Dia
telah mengarahkan supaya Seri Bija Diraja dibunuh kerana Seri Bija Diraja tidak
datang mengadapnya pada hari raya. Sultan Mahmud sendiri tidak dilayan oleh
Maulana Yusuf kerana dia datang untuk belajar tetapi sebagai Yang Dipertuan.
Dia hanya dilayan bila datang sebagai fakir Mahmud.
Manjong Dan Kelantan Diserang.
Sultan Mahmud menitahkan Paduka Tuan untuk menyerang Manjong
kerana Manjong bermusuh-musuhan dengan Beruas. Beruas adalah jajahan Melaka.
Paduka Tuan berjaya mengalahkan Manjong. Seri Maharaja pula dititahkan
menyerang Kelantan. Kelantan juga berjaya dikalahkan. 3 orang puteri raja Kelantan
ditawan dan dibawa balik ke Melaka. Puteri Onang Kinang diperisterikan baginda.
BAB X : TUN MUTAHIR DIJADIKAN BENDAHARA.
Setelah Bendahara Putih meninggal terdapat 9 orang yang layak
untuk dilantik sebagai bendahara. Bonda Sultan Mahmud adalah saudara Tun
Mutahir. Dia telah mempengaruhi Sultan Mahmud agar melantik saudaranya itu
sebagai Bendahara. Beliau bergelar Bendahara Seri Maharaja. Satu perangainya
yang buruk ialah belaiu seorang yang kuat bergaya. Dalam sehari enam tujuh
pasang persalinannya. Bagaimanapun setelah beliau menjadi Bendahara, Negeri
Melaka semakin makmur.
Titisan keturunan Bendahara Seri Maharaja.
Anak Bendahara Seri Maharaja sangat ramai. Anaknya yang sulung
ialah Tun Hassan Temenggung. Anaknya Tun Biajid Rupat bergelar Seri Petam. Seri
Nara Diraja iaitu kakak Bendahara Seri Maharaja pula dilantik sebagai Penghulu
Bendahari. Mempunyai 5 orang anak. Tun Abdul, adik Bendahara Seri Maharaja pula
bergelar Seri Nara Wangsa.
Peristiwa Patih Adam dengan Tun Minda.
Patih Adam adalah Pangeran Surabaya, dia telah bertamu ke rumah
Seri Nara Diraja. Tun Minda yang masih kecil dan baru tahu berlari-lari telah
berlari-lari di depan Patih Adam. Seri Nara Diraja sambil bergurau mengatakan
Tun Minda berkata mahu berlakikan Patih Adam.Setelah Tun Minda besar, Patih
Adam telah datang semula ke Melaka bersama 40 peria untuk menuntut janji Seri
Nara Diraja. Pada mulanya Seri Nara Diraja tidak bersetuju. Pateh Adam
menjalankan helah untuk menangkap Tun Minda di rumahnya. Setelah pengawal
dirasuah dapatlah dia masuk dan menangkap Tun Minda. Tun Minda diikat dan dia
sendiri menindih peha Tun Minda. Setelah semua pengikutnya mati terbunuh, Tun
Minda tidak dilepaskan. Akhirnya dapatlah dia mengahwini Tun Minda dan kembali
ke Surabaya.
Meminang “Puteri Gunung Ledang”.
Setelah Bonda Raja Ahmad meninggal, Sultan Mahmud ingin kahwin
lagi. Beliau berhajat untuk mengahwini Puteri Gunung Ledang. Laksamana dan Sang
Setia disuruh meminang. Tun Mamad penghulu orang Inderagiri juga ikut serta.
Setelah sampai separuh gunung, Laksamana dan Sang Setia disuruh berhenti.
Tun Mamat telah naik dengan 2 orang lain. Bila
sampai di had buluh perindu, beliau telah berjumpa seorang perempuan tua dalam
sebuah taman. Beliau mengaku bernama Dang raya Rani iaitu pengetua Puteri Gunung
Ledang.Tun Mamad telah menyatakan hajat Sultan Mahmod. Tidak lama kemudian
muncul seorang tua yang lain. Dia memberitahu syarat Tuan Puteri Gunung Ledang
untuk menerima pinangan Sultan Mahmud iaitu baginda dikehendaki membina
jambatan emas dan perak ke gunung Ledang dari Melaka, hati nyamuk 7 dulang,
Hati kuman 7 dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan dan darah
anak raja semangkuk. Bila syarat-syarat ini dinyatakan kepada Sultan Mahmud
belaiu mengaku dapat menyediakan semua permintaan kecuali darah Raja Ahmad yang
semangkuk itu.
Tepuk Berbalas, Alang Berjawat.
Sultan Nara Singa, raja Inderagiri dijadikan menantu Sultan
Mahmud. Setelah bernikah dia tidak dibenarkan balik ke Inderagiri. Bila dapat
kesempatan balik, Inderagiri telah diperintah oleh Maharaja Isap. Bila Sultan
Nara Singa balik, Maharaja Isap lari ke Lingga. Dijadikan menantu Raja Lingga
dan kemudian menggantikan mertuanya sebagai raja Lingga.
Semasa Maharaja Isap datang mengadap ke Melaka,
Sultan Nara Singa telah menyerang Lingga. Sebaliknya bila Sultan Nara Singa
mengadap ke Melaka, Maharaja Isap pula menyerang Inderagiri dan lekas-lekas dia
ke Melaka. Di Melaka, mereka didamaikan oleh Sultan Mahmud.
Hang Nadim dititahkan ke Benua Keling.
Hang Nadim, menantu Laksamana Hang Tuah, telah
dititahkan ke Benua Keling untuk membeli kain batik. 40 bagai, satu bagai 40
helai, 1 helai 40 jenis bunga. Beliau pergi dengan kapal Hang Isap. Cuma 2
orang pelukis sahaja yang mampu menyediakan corak kain yang dikehendaki oleh
Hang Nadim itu. Setelah kain batik siap, Hang Nadim segera bersiap untuk
pulang.
Malangnya Hang Isap telah berkelahi dengan
seorang peniaga saiyid. Hang Isap didakwa tidak menjelaskan semua bayarannya
dan dia mengatakan kepada Saiyid itu sebagai “wali pelir”. Kerana marah dia
bersumpah bahawa Hang Isap akan karam dalam perjalanan pulang nanti. Sumpahnya
menjadi kenyataan bila kapal Hang Isap telah karam dipukul ribut. Bagaimanapun
Hang Nadim berjaya menyelamatkan diri ke Pulau Selon. Dia berjaya pulang ke
Melaka dengan membawa kain 4 helai sahaja. Sultan murka dengannya. Laksamana
Hang Tuah telah meninggal dunia, dikebumikan di Tanjung Keling. Dia digantikan
oleh menantunya iaitu Laksamana Khoja Hassan.
BAB XI : SERI WAK RAJA DENGAN GAJAH PAHANG.
Setelah Sultan Muhammad, raja Pahang yang pertama meninggal.
Beliau digantikan oleh anak sulungnya yang bernama Abdul Jamal. Abdul Jamal
menghantar utusan ke Melaka minta ditabalkan. Sultan Mahmud telah menghantar
Seri Wak Raja ke Pahang bagi menabalkan Abdul Jamal dengan gelaran Sultan Abdul
Jamal. Di Pahang, ilmu Seri Wak Raja dan anaknya Tun Umar mengenai gajah
teruji. Bagaimanapun mereka berjaya.
Peri Cantiknya Paras Anak Bendahara Pahang.
Seri Wak raja telah pulang ke Melaka dan menceritakan tentang
cantiknya paras anak Bendahara Pahang yang bernama Tun Teja Ratna Benggala. Ini
membuatkan Sultan Mahmud berahikannya. Baginda bersumpah, sesiapa yang dapat
mendatangkan TunTeja akan diberikan hadiah yang besar, sekalipun dia meminta
sekerat daripada negeri Melaka. Berita ini didengar Hang Nadim. Untuk menebus
dosanya, beliau segera ke Pahang.
Tun Teja Dilarikan Ke Melaka.
Hang Nadim telah berbuat baik dengan seorang perempuan tua, tukang
pelulut dan juga dengan Nakhoda Saiyid Ahmad. Dengan bantuan mereka, Hang Nadim
berjaya melarikan Tun Teja ke Melaka.
Pertempuran Di Laut Pulau Keban.
Sebaik Sultan Abdul Jamal, mendengar tunangannya dilarikan Hang
Nadim, Dia segera mengejar. Hang Nadim diserang oleh angkatan Sultan Abdul
Jamal. Bagaimanapun dia berjaya melepaskan diri ke Melaka. Sultan Melaka sangat
gembira. Hang Nadim dihadiahkan emas dan perak yang tidak terkira. Saiyid Ahmad
dijadikan bentara. Hang Nadim sendiri dianugerahkan Puteri Cau Pauk, anak raja
Kelantan.
Gajah Sultan Pahang Pula Dilarikan.
Sekembalinya Sultan Abdul Jamal ke istana, dia sangat marah,
dengan menunggang gajahnya yang bernama Ai Kening dilanggarnya balairung
istananya sendiri. Kononnya begitulah dia akan melanggar istana Melaka. Khabar
ini didengar oleh Sultan Mahmud di Melaka. Disuruhnya pula curi gajah tersebut.
Laksamana Khoja Hassan telah pergi ke Pahang. Dengan tipu
helahnya, Ai Kening telah berjaya dilarikan ke Melaka.
Bersyaikh diri di Lubuk Pelang.
Sultan Abdul Jamal dengan segera memerintahkan panglima Pahang
mengejar Laksamana Khoja Hassan. Mereka diketuai oleh Seri Akar Raja.
Bagaimanapun usaha mereka gagal. Sultan Abdul Jamal telah turun takhta dan
membawa diri bersyaik di Lubuk Pelang. Anakanda baginda bergelar Sultan Mansur
Syah dirajakan.
Rahsia pembunuhan Raja Zainal.
Dia adalah saudara Sultan Mahmud sendiri. Kecantikannya tiada tara
pada waktu itu. Dia menjadi kegilaan orang-orang perempun di Melaka. Bila dia
berkuda, habislah gempar sekalian orang perempuan mahu melihatnya. Berebutan
mereka mahu memberikan hadiah kepadanya. Mendengar hal ini, Sultan Mahmud murka
dan secara senyap-senyap dia telah menyuruh Hang Berkat pergi membunuh Raja
Zainal. Hebohlah orang mengatakan Raja Zainal telah mati dibunuh oleh pencuri.
Hang Berkat dianggap saudara oleh Sultan dan dia diberikan gelar Sang Sura.
Sultan Mahmud Syah Serba Salah.
Satu hari isteri Sang Sura telah berzina dengan Sang Guna. Sang
Sura mahu Sang Guna dibunuh. Akibatnya sultan serba salah kerana Sang Guna
adalah tukang keris istana yang mahir. Bagaimanapun Sang Guna telah dihukum
berkurung dalam rumah. Untuk berdiri di muka pintupun tidak dibenarkan. Tidak
dibenarkan ke mana-mana. Akhirnya Sang Guna minta dikat dan diserahkan kepada
Sang Sura supaya dibunuhnya sekali.
BAB XII : RAJA LEGOR GAGAL MENYERANG PAHANG.
Raja Legor yang bernama Maharaja Dewa Sura telah dititahkan oleh
Raja Siam untuk menyerang Pahang. Berita ini didengar ke Melaka. Setelah
bermesyuarat, Sultan Mahmud telah bersetuju menghantar tentera Melaka bagi
membantu Pahang. Bendahara Seri Maharaja telah diarahkan ke sana. Dia juga
meminta Laksamana turut sama. Dengan bantuan Melaka, Pahang tidak berjaya
ditewaskan oleh Legor.
Biadap Di Hadapan Bendahara.
Seorang pembesar bernamaTun Perpatih Hitam, dia mempunyai seorang
anak bernama Tun Hussin. Dia pernah bersumpah akan mengamuk sekiranya bapanya
dibicarakan orang. Satu kali bapanya itu dipanggil bicara di hadapan Bendahara
kerana berselisih faham dengan seorang dagang. Pada masa perbicaraan itu
berlansung, Tun Hussin telah datang. Melihat kedatangan anaknya itu, Tun
Perpatih hitam telah menguis tikar dihdapan Bendahara. Perlakuan ini dianggap
biadab oleh Laksamana dan dia segera dibunuh. Tun Hussin yang mahu mengamuk
juga dibunuh. Laksamana segera melapurkan pada Sultan dan Sultan bersetuju
dengan tindakan Laksamana itu.
Zuriat Laksamana Hang Tuah.
Laksamana mempunyai 2 orang isteri. Isteri pertama iaitu saudara
Seri Bija Diraja Datuk Bongkok ada 3 anak iaitu Tun Sirah (Isteri temenggung
Khoja Hussin), Tun Biajid dan Tun Daerah (isteri Sultan
Mahmud). Dengan isterinya yang kedua dari keluarga Bendahara Paduka
Raja ada 2 orang anak iaitu Sang Guna dan Tun Emas Jiwa (Isteri Hang Nadim).
Raja Petani dan Raja Kedah dinobatkan.
Anak raja Siam Cau Seri Bangsa telah menyerang Kota Mahligai yang
diperintah oleh Raja Sulaiman Syah. Dia berjanji kiranya dia berjaya, dia akan
memeluk agama Islam. Takdir Allah dia menang. Diapun memeluk Islam. Mendirikan
kota di Petani. Dia meminta dinobatkan oleh Melaka. Melaka telah menobatkannya
dengan gelaran Sultan Seri Ahmad Syah. Raja Kedah juga telah ke Melaka untuk
dinobatkan. Beliau juga dinobatkan oleh Sultan Mahmud.
Kebesaran Melaka Dan Kedatangan Poortugis.
Penduduk negeri Melaka semakin ramai hingga mencapai 19 laksa
ramainya. Ramai dagang yang datang termasuklah orang Portugis dari Goa, India.
Hairan orang Melaka melihat mereka dan dikatakan sebagai Benggali Putih.
Setelah kembali ke India, dia membuat laporan kepada wizurainya di Goa iaitu
Alfonso d’ Albuquerque. Dengan segera dia memerintahkan tenteranya datang
menyerang Melaka. Penduduk Melaka pada masa itu kehairanan melihat peluru
meriam. Bagaimanapun angkatan Portugis berjaya dikalahkan. Alfonso mahu Melaka
diserang lagi tetapi Kapitan Mor melarang menyerang Melaka selagi Bendahara
masih hidup. Alsonso bersumpah setelah dia turun dari menjadi wizurai , dia
akan datang menawan Melaka.
Makhdum Dipersenda Muridnya.
Satu ketika seorang pendita dari Jeddah telah datang ke Melaka,
beliau bernama Maulana Sadar Jahan. Sultan dan pembesar Melakapun berguru
dengannya. Ketika berada di rumah Bendahara, datanglah Seri Rama. Beliau baru
kembali dari meminum arak di istana. Beliau memang seorang yang kuat minum.
Bila tiba di hadapan Makhdum, Makhdum telah memberitahunya yang “Al-Khamru
ummul al-khabaith” (Arak itu ibu segala najis). Seri Rama pula menjawab
“AL-Hamku ummul Khabaith” (Hamak itu ibu segala najis). Maksudnya
dia telah memperli Makhdum yang dikatakannya datang ke Melaka untuk mencari
harta. Marahlah Makhdum padanya.
Tun Mai Ulat Bulu juga telah mempersendakan
Makhdum. Puncanya dia dikatakan keras lidah. Sebaliknya Tun Mai Ulat Bulu telah
menyuruh Makhdum menyebutkan perkataan seperti “kunyit, nyiru dan kucing”.
Makhdum gagal menyebutnya. Tun Mai Ulat bulu mengatakan ; begitulah halnya
sendiri yang gagal untuk menyebut huruf-huruf arab.
Bertanya satu masalah agama ke Pasai.
Orang Kaya Tun Muhammad dititahkan ke Pasai untuk bertanyakan
masalah agama tentang rezeki. Ada pendapat mengatakan ketetapan rezeki adalah
sejak azali. Ada pula mengatakannya tidak. Untuk menjawab masalah itu, raja
telah menyuruh Tun Hassan menyelesaikannya. Jawapan itu dipersetujui oleh Tun
Muhammad. Selepas itu diapun kembali ke Melaka.
BAB XIII : TUN FATIMAH ANAK BENDAHARA SERI
MAHARAJA.
Kecantikan Tun Fatimah diumpamakan laut madu, bertasik susu dan
berpantaikan sakar (gula). Tun Fatimah ditunangkan dengan Tun Ali, anak Seri
Nara Diraja, sepupunya. Raja Di Baruh iaitu bapa saudara Sultan Mahmud
menasihatkan supaya perkahwinan ditangguhkan kerana Tun Fatimah itu sepatutnya
ditunjukkan kepada Sultan dulu, lagipun Permaisuri Tun Teja telah mati.
Bendahara tidak endahkan nasihat itu. Pada hari perkahwinan Sultan datang dan
dia sangat tertarik dengan Tun Fatimah dan menuduh Bendahara sebagai jahat.
Sultan berdendam dengan Bendahara.
Kekayaan Bendahara Seri Maharaja.
Bendahara sangat kaya. Mempunyai simpanan emas sebanyak 6 bahara.
Lebih satu bahara dari kepunyaan Raja Mendaliar, Syahbandar Melaka. Anak-anak
cucunya diberikan emas, jikalau hilang diberinya yang lain. Kerbau
pemeliharaannya di Kayu Ara juga banyak. Jikalau anak buahnya pergi berburu
tapi tidak dapat, maka kerbau dikandang itulah yang disembelih mereka.
Tun Hassan Temenggung Cuba Dibeli.
Semua orang besar-besar datang ke rumah Ali Manu Nayan, seorang
kaya di Melaka. Mereka semua diberikan hadiah. Hanya Tun Hassan Temenggung saja
yang tidak datang. Ali Manu Nayan pernah menyatakan ; Kiranya Tun Hassan
berdiri sahaja di hadapan kedainya, dia akan memberikan 10 tahil emas.
Punca Mencetuskan Sekejam-Kejam Hukuman.
Nina Dewa Sura telah bertelingkah dengan Raja Mendaliar. Mereka
pergi berhukum pada Bendahara. Kerana hari telah petang, mereka disuruh datang
keesukan harinya. Malam itu, Nina Sewa Sura telah merasuahkan emas sebanyak
sebahara kepada Bendahara supaya dia menang dalam kesnya dengan Raja Mendaliar.
Kitul, seorang yang ada berhutang dengan Raja Mendaliar telah pergi memberitahu
Raja Mendaliar tentang perihal Nina Dewa Sura itu. Dikatakan Nina Dewa Sura
merasuahkan emas 10 kati supaya Bendahara membunuh Raja Mendaliar dan dikatakan
bahawa Bendahara telah bersetuju. Segala hutang Kitul telah dihalalkan. Pada
malam itu juga, Raja Mendaliar telah pergi mengadu kepada Laksamana Khoja
Hassan. Dirasuahnya dengan emas sebahara disamping permata dan kain baju yang
indah-indah. Dikatanya Bendahara mahu merampas takhta kerajaan. Bendahara
telahpun menempah takhta kerajaan, piu dan kaus emas. Kerana termakan pujuk,
Laksamana bersedia memberitahu raja.
Tamat Riwayat Tiga Orang Besar Negara.
Sebaik menerima aduan Laksamana, Sultan Mahmud telah mengarahkan
Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara pergi membunuh Bendahara. Tun Hassan
Temenggung ingin menentang tapi dihalang oleh Bendahara. Tun Hassan juga mahu
membuang peti-peti emasnya, itupun dihalang oleh Sutan. Bendahara, Seri Nara
Diraja, Tun Hassan Temenggung dan suami serta sepupunya Tun Alipun dibunuh
orang. Tun Abdul Karim, Tun Jenal dan Tun Fatimah tidak dibunuh. Sebaliknya Tun
Fatimah dijadikan isterinya. Bila kahwin, segala harta Bendahara dibawa ke
dalam. Raja mendapati tuduhan yang Raja mahu merampas takhta tidak benar kerana
alatan seperti takhta, piu dan kasut emas tidak ada. Sultan jadi menyesal.
Kitul telah disula dan Raja Mendaliar dibunuh. Harta Laksamana dirampas. Dia
tidak dibunuh kerana Sultan pernah bersumpah mengharamkam darah laksamana.
Bendahara Paduka Tuan (Bendahara Tepok).
Paduka Tuan iaitu anak Bendahara Paduka Raja telah dilantik
menjadi Bendahara. Dia sudah tua, giginya telah tanggal dan kakipun telah
tepok.Bila dinyatakan dia akan diangkat menjadi Bendahara, dia menolak tapi
dipaksakan juga oleh Sultan. Dia juga dikenali sebagai Bendahara Lubuk Batu.
Seorang yang kuat makan dan bila mahu berjalan sepasu minyak wangi
digunakannya.
Tun Biajid sasar.
Dia adalah anak Bendahara Paduka Tuan. Sasar bahasa. Bila berjalan
ke pasar, diambilnya segala barang yang diperkanannya. Bendahara terpaksa
menyuruh seseorang mengekori Tun Biajid dan membayar harga barangan yang
diambilnya. Tun Biajid telah dihadiahkan seekor gajah oleh ayahnya. Gajah ini
selalu dijual tapi ditebus semula oleh Bendahara. Bila dilihatnya gajah itu
diambilnya semula konon gajah itu adalah gajahnya. Tun Biajid pernah ditambat
dan dhantar kepada Raja untuk dibunuh kerana dia membunuh orang tetapi tidak
dilaksanakan oleh Sultan.
Zuriat bendahara Lubuk Batu.
Anak Bendahara ramai antaranya ialah Tun Khoja Ahmad atau gelarnya
Tun Pikrama dan Tun Pauh. Anak Tun Khoja Ahmad bernama Tun Isap Berakah, dia
menjadi Datuk Bendahara Johor.
Sultan Mahmud Membuang Kerajaan.
Sejak diperisterikan Sultan Mahmud, Tun Fatimah tidak pernah
senyum. Dia sentiasa berdukacita. Sultan Mahmud juga sangat menyesal membunuh
Bendahara Seri Maharaja. Sultan Mahmud telah turun takhta dan diserahkan pada
anaknya Sultan Ahmad Syah. Baginda membawa diri ke Kayu Ara dengan ditemani
oleh Sang Sura.
Sultan Ahmad pula tidak kasih akan orang-orang
besar. Dia hanya kasih kepada beberapa orang tertentu sahaja seperti Tun Ali
Hati, Tun Mai Ulat Bulu, Tun Muhammad Unta, Tun Ali Berudu dan Tun Ali Kenyal.
Orang-orang muda tiga empat belas orang dan hamba raja dua tiga puluh orang.
Itulah sahaja teman-temannya.
Tun Fatimah pula bila hamil dibuangkannya.
Alasannya kerana pengganti raja telah ada. Sultan Mahmud berjanji akan
merajakan anaknya, barulah kandungan itu dibelanya. Malangnya Tun Fatimah hanya
mendapat anak perempuan iaitu Raja Putih dan Raja Khatijah. Sultan Mahmud pula
asyik belajar tasawuf dengan Makhdum Sadar Jahan.
BAB XIV : DI SAAT AKHIR KESULTANAN MELAYU
MELAKA.
Alfonso d’Albuquerque setelah turun daripada wizurai Goa telah
kembali ke Portugal meminta armada untuk menyerang Melala. Dari Goa dia telah
menyerang Melaka dengan 43 buah kapal. Cubaan pertama Alfonso dapat dipatahkan
oleh Sultan Ahmad. Pada waktu malam, dibacakan Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat
Muhammad Hanafiah untuk membangkitkan semangat perang. Dalam perang keesukan
harinya, tangan sultan telah terluka.
Sultan Mahmud, Sultan Ahmad berlepas diri.
Akhirnya Portugis berjaya menewaskan angkatan Melaka. Sultan
Ahmad, Sultan Mahmud lari meinggalkan Melaka. Pada mulanya ke Muar dan
seterusnya ke Pahang dan akhirnya ke Johor. Di Johor berkota di Pekan Tua dan
seterusnya ke Bintan. Perangai Sultan Ahmad yang tidak menghormati pembesar
menyebabkan dia akhirnya disuruh bunuh oleh Sultan Mahmud. Ditanamkan di Bukit
Batu.
Melantik Orang-Orang Besar Kerajaan.
Sultan Ahmad digantikan dengan Sultan Muzaffar. Sultan Muzaffar
masih lagi kanak-kanak. Tun Khoja Ahmad anak Bendahara Lubuk Batu dijadikan
Bendahara bergelar Paduka Tuan. Tun Abu Ishak dijadiikan Perdana Menteri
bergelar Seri Amar Bangsa. Tun Hamzah anak Seri Nara Diraja dijadikanBendahari.Tun
Abdul Karim dan Tun Jenal juga diberikan gelar. Bila Laksamana Khoja Hasaan
mati, dia ditanamkan di Bukit Pantar dan digantikan pula oleh Hang Nadim.
Anak Raja Bakal Kerajaan.
Bila Tun Fatimah hamil dan melahirkan anak lelaki, Sultan Mahmud
sangat gembira. Anak itu dinamakan Raja Ali dengan timangannya Raja Kecil
Besar. Peterana dan permaidani Sultan Muzaffar diambil untuk digunakan oleh
Raja Ali. Setelah genap 40 hari, acara pertabalan dijalankan. Raja Ali
ditabalkan sebagai Sultan Alaudin Riayat Syah dan digelar juga Sultan Muda.
Tun Ali Hati lebih rela mati.
Semasa kematian Sultan Ahmad, semua kawan-kawan Sultan Ahmad
dikumpulkan oleh Sultan Mahmud dan mereka diminta taat setia pada Sultan. Semua
orang lain datang kecuali Tun Ali Hati. Dia tidak datang dan minta dibunuh
sahaja. Akhirnya dia dibunuh juga oleh Sultan Mahmud.
Raja Abdullah Ditawan Peringgi.
Raja Abdullah adalah pemerintah Kampar. Saudara Sultan Mahmud.
Bila Sultan Mahmud kalah, Raja Abdullah cuba berbaik-baik dengan Portugis
dengan harapan dia akan diangkat menjadi sultan yang baru di Melaka. Belaiu
telah ditangkap, dibawa ke Melaka dan seterusnya dibawa ke Goa.
Angkatan Peringgi menyerang Bintan.
Sultan sangat mengharapkan Temenggung Seri Udani turun berperang
menentang Portugis. Beliau hanya turun bila Portugis sudah di kuala, tanpa
mengadap raja dahulu. Terus ke Kota Kara. Berperang dengan Portugis di situ
sehingga mati.
Pusaka Dari Temenggung Seri Udani.
Temenggung sebenarnya berkecil hati terhadap Sultan kerana tidak
memberikannya biaya. Hartanya yang disuratkan kepada raja hanyalah talam,
periuk, belanga, bokor, pinggan, mangkuk yang telah retak dan sumbing. Budak
tiga orang iaitu Si Berkat, Si Lamat dan Si Tuakal. Bila Sultan membaca surat
Temenggung itu dia tertunduk sedih. Baginda segera menyuruh menghantarkan satu
persalinan kepada Temenggung seperti pakaian anak raja-raja.
Membalas Kasih Raja.
Peringgi telah mengalahkan kota Kopak. Seri Nara Diraja berjaya
membawa Sultan Mahmud lari. Beliau berjumpa Seri Wak Raja. Dia ikut sama.
Diajaknya Seri Wak Raja membantu Raja dengan menyindir untuk membalas jasa
Sultan Mahmud yang telah membunuh saudara mereka berdua (Bendahara Seri Maha
Raja dan Seri Nara Diraja). Ini membuatkan Sultan bersedih. Untuk mendapatkan
makanan, Seri Wak Raja terpaksa menyamun, mencuri nasi yang sedang ditanak oleh
seorang perempuan.
Dari Bintan pindah ke Kampar.
Setelah Peringgi balik ke Melaka, Sultan dan rombongannya pergi ke
Kampar. Di sana beliau terkejut mendengar berita Raja Abdullah yang ditangkap
Portugis itu. Sultan menduduki istana Raja Abdullah. Malangnya permaisuri telah
meninggal dunia di Kampar. 40 hari Sultan tiada nobat.
Masalah Tiada Mempunyai Putera Lelaki.
Raja Pahang iaitu Sultan Mansur Syah (Anak Sultan Abdul Jamal)
tidak mempunyai anak lelaki. Satu ketika, Raja Muhamad, raja Terengganu yang
berasal dari anak raja Kelantan telah datang ke Pahang. Dia didudukkan dengan
dua pupu Sultan. Dapat seorang anak lelaki. Dinamai Raja Ahmad dan dijadikan
anak angkatnya. Bila sudah besar, Raja Ahmad dikahwinkan dengan anakanda
baginda Raja Puspa Dewi. Dapat seorang anak dinamakan Raja Omar.
BAB XV : SULTAN MAHMUD MANGKAT DI
KAMPAR.
Sultan Mahmud semasa sakit hendak mati telah mewasiatkan Bendahara
menjaga anaknya Sultan Muda. Sultan Mahmud juga sempat berpesan kepada Sultan
Muda supaya :
ð Bersabar.
ð Jangan tinggalkan bendahara dan menteri dalam
sebarang urusan.
ð Berlaku adil terhadap rakyat dan tentera.
ð Jangan mudah mendengar fitnah (sembah orang).
Siasat dahulu kerana rakyat sangat mengharapkan keadilan dan kemurahan raja.
Setelah Sultan Mahmud mangkat, Sultan Alaudin pun pindah ke Pahang
semula.
Bertapak Semula Di Bumi Semenanjung.
Di Pahang, Sultan Alaudin telah berkahwin dengan anak Sultan
Mansur yang bernama Raja Kesuma Dewi. Setelah kahwin, mereka pindah pula ke
Johor. Dengan diketuai Laksamana Hang Nadim, merekapun pindah ke Johor.
Berbuat negeri di Johor.
Sultan Alaudin memerintahkan berbuat kota di Kuala Johor hingga ke
Kuala Sungai Kerting. Laksamana Hang Nadim duduk di Bintan. Sultan mendapat dua
orang anak iaitu Raja Muzaffar dan Raja Fatimah. Kedua-duanya belajar mengaji
dengan Tun Kamal Wangsa.
Surat Meminang Dari Pahang.
Bila Sultan Pahang mengetahui Sultan Johor telah mendapat anak
perempuan, dikirimnya utusan ke Johor untuk meminang Raja Fatimah untuk Raja
Omar. Atas nasihat Bendahara, peminangan itu diterima.
Hasrat Sultan Pahang tercapai
Seri Akar Raja dan Seri Nara Wangsa segera balik memberitahu
Sultan Pahang akan kesediaan Sultan Alaudin itu. Mereka juga melapurkan yang
kawalan sentiasa dibuat oleh laksamana terhadap Peringgi. Angkatan Peringgi
sentiasa diserang. Setelah siap, Sultan Pahang berangkat ke Johor bersama Raja
Omar. Mereka diberikan sebuah istana.
Istiadat perkahwinan Diraja Johor-Pahang.
Antara istiadatnya ialah :
· Menghantar sirih dan emas belanja.
· Pekerjaan berjaga-jaga selama 40 hari. Pelbagai
permainan dimainkan.
· Kenduri kerbau, lembu, kambing, itik, ayam
disembelih.
· Raja Omar diarak dengan gajah, lengkap dengan
segala alat kebesaran kerajaan. Diiringi dengan pelbagai alat muzik seperti
gendang, serunai, nafiri, nagara dan madeli.
· Tuan Kadi menikahkan.
· Makan beradap-adapan.
· Jamuan untuk tamu diawasi oleh Temenggung dan
para bentara. Bendahara santap satu hidangan seorang diri kecuali boleh
ditemani oleh anak raja yang bakal menjadi raja.
Selepas Mangkat Sultan Alaudin.
Tidak lama selepas perkahwinan Raja Omar-Raja Fatimah, dikahwinkan
pula Raja Muzaffar dengan cucu Bendahara, Tun Emas Jiwa iaitu anak Tun Hassan
Temenggung. Kemudian Sultan Alaudin pun mangkat dan disebut orang Marhum di
Johor Lama. Raja Muzaffar dilantik menjadi raja dengan gelaran Sultan Muzaffar
Syah. Ketika itu baru berusia 19 tahun. Sultan Mansur di Pahangpun
mangkat dan diganti oleh Raja Ismail dan bergelar Sultan Jamal Syah.Setelah
beberapa lama di Johor Lama, Sultan Muzaffar pindah ke Seluyud. Raja Omar pula
menjadi benci pada isterinya yang dari Pahang, iaitu emak Raja Mansor.
Ditalaknya dan dihantar ke rumah Seri Nara Diraja, sebab emak Raja Mansur
adalah saudara Seri Nara Diraja.
Nikah Dalam Sunyi.
Satu hari Sultan Muzaffar pergi ke rumah Seri Nara Diraja dan dia
terpandang pada emak Si Mansur dan terus jatuh berahi. Setelah muafakat dengan
Bendahara dan Seri Nara Diraja, Sultan Muzaffarpun nikahlah dengan bonda Sultan
Mansur secara senyap-senyap. Bila Bonda Raja Mansur hamil, Seri Nara Diraja
memberitahu Raja Omar dan isterinya raja Fatimah. Kononnya dia takut
memeliharakan bonda Raja Mansur sebab hamil. Raja Omar sendiri menganggap anak
itu sebagai anaknya. Jadi raja Fatimah suruh hantar padanya, biar dia
peliharakan. Raja Fatimah sendiri juga hamil, dapat seorang anak lelaki
dinamakan Raja Abdul Jalil. 10 bulan kemudian, bonda Raja Mansur beranak dan
dinamakan Raja Abdullah. Kedua-dua bayi itu diangkat anak oleh Sultan Muzaffar.
Wasiat Sultan Muzaffar Syah.
Bila Sultan Muzaffar Syah hendak mangkat diwasiatkan agar Raja
Abdul Jalil dijadikan sultan. Dipangku oleh Bendahara. Ini tidak sukai oleh
Raja Omar dan Raja Fatimah. Raja Abdul Jalil pula sangat erat hubungannya
dengan Raja Abdullah. Rahsia Raja Abdullah sebagai anak Sultan Muzaffar Syah
tidak diketahui sesiapa kecuali Bendahara dan Seri Nara Diraja
sahaja.
Wasiat Sultan Abdul Jalil Diketepi.
Raja Abdul Jalil setelah berusia 9 tahun telah jatuh sakit dan
meninggal dunia. Sebelum mati baginda sempat mewasiatkan agar takhta
diperturunkan kepada Raja Abdullah. Ianya dibantah oleh emaknya, Raja Fatimah
tetapi tidak diendahkan. Bila Raja Abdullah hendak dinobatkan Raja Fatimah
mengancam mahu melarikan diri. Ini menyebabkan Bendahara terpaksa tunduk kepada
permintaannya. Dia juga takut dianggap mahu berkuasa, memangku raja. Raja Omar
dinobatkan dengan gelaran Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri’ayat Syah. Terlalu
kasihkan pula pada bendahara.
Tun Seri Lanang jadi Bendahara.
Bendahara Paduka Raja gering dan meninggal dunia. Tun Seri Lanang
pula diangkat menjadi bendahara. Bergelar Bendahara Paduka Raja juga. Sultan
Ala Jalla Abdul Jalil pindah pula dari Seluyud ke Tanah Putih atau Batu Sawar.
Diserang oleh Portugis tapi tidak dapat dikalahkan. Malangnya ramai
orang sakit dan mati di Tanah Putih. Pindah pula ke hulu Sungai
Damar atau makam Tauhid. 2 kali Portugis menyerang. Negeri Makam
Tauhid tidak dapat dikalahkan. Bila Laksmaana Hang Nadim mati,
dia digantikan oleh orang besar Cempa. Raja fatimah juga mangkat dan
dikebumikan di Seluyud bersama kuburan kekandanya Sultan Muzaffar Syah. Selang
setahun kemudian suaminya pula meninggal. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil
dimakamkan di Batu. Raja Abdullah hendak dinobatkan tetapi baginda menolak.
Bagaimanapun oleh kerana Raja Mangsur cuai menjalankan tugas, Raja Abdullah
terpaksa menjalankan tugas sultan. Raja Mangsur sekali lagi mahu pindah ke Hulu
Kuala Sungai Riun iaitu di Pasir Raja.
No comments:
Post a Comment